SPR batal penggunaan dakwat kekal
Oleh SA'ODAH ELIAS
PUTRAJAYA: Penggunaan dakwat kekal yang sepatutnya diperkenalkan buat kali pertama pada hari pengundian Sabtu ini dibatalkan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata pembatalan itu tidak dapat dielakkan berdasarkan isu perundangan serta masalah ketenteraman awam.
Katanya, isu perundangan berbangkit melibatkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tidak sesiapa boleh menidakkan seseorang yang layak daripada mengundi, termasuk seseorang yang kukunya telah dicalit dengan dakwat kekal.
Masalah keselamatan yang mungkin timbul pula melibatkan empat laporan polis yang diterima setakat ini mengatakan terdapat individu tertentu yang telah pun mengimport dakwat seperti yang akan digunakan oleh SPR dengan tujuan menipu orang ramai agar mencalit kuku mereka sebelum pergi mengundi.
"Siasatan terhadap laporan polis yang diterima mengesahkan individu-individu ini bercadang memujuk dan menyogok orang yang kurang faham dan jelas mengenai penggunaan dakwat agar mencalitkan kuku mereka sebelum hari mengundi. Sasaran golongan ini adalah masyarakat luar bandar.
"Ini bertujuan menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan dan ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat-tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika ia berleluasa," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di sini Selasa.
Katanya, SPR memandang serius perkembangan terkini itu kerana berpendirian proses pengundian dan ketenteraman serta keselamatan awam tidak boleh sekali-kali dikompromi.
SPR, katanya, sangat dukacita atas keputusan yang terpaksa dibuatnya itu.
"Namun demi menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam menjamin kelancaran proses pengundian, dan demi ketenteraman serta keselamatan awam, kita perlu mengambil keputusan tegas dan muktamad ini," katanya.
Musa pula ketika diminta mengulas laporan yang diterima polis mengenai pembelian secara haram dakwat kekal oleh individu tertentu berkata, dua laporan diterima di Perlis dan masing-masing satu di Kedah dan Kelantan.
"Kita kini sedang menyoal empat individu terlibat dan meneruskan siasatan mengenai perkara itu. Kita menyiasat perkara ini sebagai percubaan menipu.
"Empat individu itu berumur antara 33 dan 40an terdiri daripada ahli perniagaan dan bekerja sendiri. Setakat ini kita belum dapat memastikan sama ada mereka adalah ahli atau penyokong mana-mana parti politik," katanya.
Gani pula memberitahu pemberita, sekiranya penggunaan dakwat kekal itu hendak diperkenalkan kemudian, kerajaan perlu terlebih dahulu membuat pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
"Ini kerana Perkara 119 yang melibatkan hak mengundi menyebut seseorang yang cukup 21 tahun, bermastautin di sesuatu tempat di negara ini dan mendaftar dalam Daftar Pengundi, berhak mengundi pada pilihan raya. Tidak ada peruntukan mengatakan seseorang yang kukunya dicalit dakwat tidak boleh mengundi," katanya.
Selain Perlembagaan Persekutuan, katanya, pindaan juga perlu dibuat ke atas Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya.
SPR, ketika mengumumkan penggunaan dakwat kekal itu akhir tahun lalu berkata, ia tidak memerlukan sebarang pindaan terhadap undang-undang sedia ada, memadai pindaan terhadap Peraturan Pilihan Raya yang boleh dilakukan sendiri oleh SPR.
Abdul Rashid berkata, SPR akan memberitahu semua pihak berkepentingan seperti parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini tentang keputusan itu secepat mungkin.
Beliau berharap, pihak berkenaan dapat menerima alasan yang diberikan dan tidak memutar belitkannya untuk tujuan politik.
"Saya yakin mereka juga tidak mahu melihat kekecohan dan rusuhan di pusat-pusat mengundi nanti. Saya tidak fikir kita mempunyai cukup anggota untuk mengawal keselamatan jika ia berlaku secara berleluasa kelak," katanya.
Di tanya sama ada SPR akan mengadakan dialog untuk menjelaskan keputusan terakhir ini kepada pemimpin parti-parti politik bagi mengelak ia dijadikan isu kempen, Abdul Rashid berkata: "Saya tidak ada masa untuk itu semua. Saya hanya berharap mereka boleh menerimanya dengan hati terbuka. Kita memang mahu guna dakwat, tetapi keadaan tidak mengizinkan."
Abdul Rashid juga enggan menjelaskan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan membeli dakwat yang sepatutnya digunakan dalam tiga hari lagi itu.
Beliau juga berkata SPR akan mengatasi masalah kerugian yang mungkin timbul daripada pembatalan penggunaan dakwat kekal itu dengan menjualnya semula kepada negara-negara yang memerlukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.