HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mac 2008

Tsu Koon minta media jangan ganggu calon pengganti



PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon merayu kepada media agar tidak terlalu banyak mengganggu tiga calon yang disebut-sebut sebagai pengganti beliau bagi mengisi jawatan itu untuk membolehkan mereka berkempen dengan berkesan bagi menghadapi pilihan raya umum 8 Mac ini.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan manifesto BN Pulau Pinang di sini, Dr Koh berkata tiga calon berkenaan tidak dapat berkempen dengan lancar kerana mereka diekori ramai jurufoto ke mana saja mereka pergi.

"Saya dimaklumkan ada kalanya 20 hingga 30 daripada anda mengikuti mereka. Apabila mereka mengetuk pintu rumah dan penghuninya membuka pintu, dia melihat ada 20 hingga 30 jurufoto.

"Penghuni rumah akan menutup pintu dengan serta-merta dan macam mana mereka hendak berkempen," kata beliau.

Spekulasi tentang calon Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru menjadi semakin hangat selepas Dr Koh menamakan tiga calon Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Datuk Lee Kah Choon, 48, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pulau Tikus Datuk Dr Teng Hock Nam, 62, dan penyandang kerusi DUN Padang Kota Teng Chang Yeow, 44 sebagai pengganti beliau.

Ada akhbar menyiarkan di muka depan laporan kononnya Chang, yang dilahirkan di Johor, akan dinamakan sebagai calon bagi mengisi jawatan itu berikutan keputusan Dr Koh bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Kawan dan akan berpindah ke pusat selepas pilihan raya umum ini.

Mengenai keghairahan pengundi di Pulau Pinang untuk mengetahui siapakah yang akan menjadi ketua menteri mereka yang baru, Dr Koh berkata keadaan ini juga berpunca daripada spekulasi yang dibuat oleh media, sedangkan beliau telah beberapa kali menegaskan bahawa beliau akan hanya membuat keputusan mengenainya selepas pilihan raya umum nanti.

Ditanya sama ada kelewatan menamakan pengganti beliau boleh mengakibatkan tercetusnya perbalahan dalam kalangan anggota dan penyokong parti itu, Dr Koh berkata anggota Gerakan sepatutnya memberi tumpuan terhadap kempen bagi menghadapi pilihan raya.

"Majoriti anggota Gerakan amat matang. Tapi, ada juga yang terlalu berlebihan dalam menyokong ketua mereka. Kepada anggota begini, saya ingin memberitahu mereka bahawa percakaran dalam parti hanya mengakibatkan kerugian yang amat besar. Daripada bercakaran, lebih baik berjuang bagi calon anda untuk memastikan kemenangan mereka," katanya.

Dr Koh berkata tanpa sokongan rakyat, tidak akan ada Ketua Menteri daripada BN dan menyeru anggota parti itu supaya memberi tumpuan terhadap usaha memperbaiki kehidupan rakyat serta mengekalkan keselamatan, keamanan dan meningkatkan kedudukan ekonomi di negeri ini.

"Tolong redakan sedikit spekulasi tentang Ketua Menteri akan datang. Kami akan maklumkan kepada anda mengenainya. Tolonglah kerana kami perlu berkempen," rayu Dr Koh kepada pemberita. BERNAMA

Tiada ulasan: