HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mac 2008

Umno guna agen bawa balik kad pengenalan orang tak mengundi ke Kelantan


(Harakah) – Seorang pemilih yang diupah untuk membawa 28 kad pengenalan milik orang lain ke Kelantan mengaku menerima bayaran daripada pemimpin Umno.

Difahamkan kad pengenalan tersebut milik orang lain yang berdaftar dengan Umno tetapi tidak mahu balik mengundi.

“Berdasar kepada pengamatan saya didapati kad-kad pengenalan tersebut asli dan bukan klon. Cuma kita hairan macam mana mereka boleh kumpulkan begitu banyak kad pengenalan milik orang lain.

“Kad pengenalan tersebut juga mencatat pemiliknya bukan berasal dari Kelantan namun namanya terdapat dalam buku daftar pemilih di sini,” kata jurucakap bilik Gerakan PAS Tanah Merah di sini.

Kata beliau berdasar kepada 28 kad pengenalan yang dibawa balik orang terbabit didapati 25 nama terdapat dalam buku daftar pemilih di Dun Bukit Panau dan 5 lagi di Dun Kemahang.

Menurutnya orang berkenaan memberitahu dia melahirkan rasa bersalah untuk membekalkan kad pengenalan tersebut kepada orang lain bagi membolehkan mereka mengundi seperti diarah pemimpin Umno di Kuala Lumpur.

Malah katanya, orang yang dibekalkan kad pengenalan tersebut akan diberi upah pada kadar tertentu sekiranya keluar mengundi menggunakan kad pengenalan terbabit.

“Orang berkenaan juga memberitahu kesemua yang pulang dengan sebuah bas dibekalkan banyak kad pengenalan setiap seorang untuk diagih kepada orang Umno di kampung supaya mereka mengundi bagi kali kedua.

“Dia lahir rasa bersalah biar pun pada awalnya bersetuju untuk melaksanakan misi jahat tersebut. Petang ini dia memberitahu akan kembali semula ke Kuala Lumpur selepas sedar diperbodohkan pemimpin Umno,” ujarnya.

Sumber lain pula memberitahu setiap agen yang dilantik dapat mengumpulkan sehingga 40 pengundi anak Kelantan di perantau akan dibayar sebanyak RM30,000.

Manakala di MACHANG jurucakap keselamatan PAS pula memberitahu terdapat 72 bas yang mencurigakan dikesan berada di Universiti Teknologi Mara, Machang.

Mereka diiringi kira-kira 100 anggota polis yang bertindak menjaga kumpulan itu daripada sebarang tindakan petugas PAS di kawasan tersebut.

“Jumlah bas itu memenuhi ruang dalam kampus terbabit dengan membawa penumpang yang tidak dikenali sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk tempatan,” katanya.

Situasi serupa berlaku di beberapa tempat di Kuala Terengganu semalam apabila polis menganggap bas yang membawa rombongan pengundi pulang ke kampung untuk membuang undi.

Jurucakap tersebut berkata, terdapat tiga bas yang membawa pendatang dari negara asing tersesat di Machang semalam. Dan mereka tidak dapat bertutur bahasa Melayu.

Di PASIR PUTEH pula Sekolah Menengah Kamil menjadi tempat penginapan bagi kira-kira 300 anggota polis yang dibawa dari luar Kelantan. Sumber memberitahu mereka mengakui diletakkan di sekolah tersebut bagi menjaga keselamatan.

“Bagaimanapun ketika saya tanya adakah mereka diberi kad pengenalan untuk mengundi di sini, mereka terdiam dan enggan menjawab,” kata seorang petugas PAS.

Selain itu di Semerak seorang anggota tentera memberitahu dia dibekalkan kad pengenalan awam untuk mengundi di Dun Pasir Pekan.

Sedangkan setiap anggota tentera atau polis tidak dibenarkan memiliki kad pengenalan awam ketika masih lagi dalam perkhidmatan.

Sementara itu, di PENGKALAN CHEPA, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Kota Jembal pagi tadi berkata, rakyat Kelantan tidak boleh menerima sekiranya pengendalian pilihan raya secara jelas tidak berlaku secara adil.

“PAS boleh terima kalau tidak menang dengan cara bersih, namun kalau berlaku sesuatu yang jelas tidak adil, saya tidak nampak rakyat boleh menerimanya,” katanya.

Bagaimanapun beliau yakin rakyat sedar terhadap kepincangan dalam negara sekarang dan tidak ada sebab mereka menyokong BN.

Malah kata beliau sokongan orang bukan Islam termasuk kaum Cina, Siam dan India kepada PAS semakin meningkat sekarang sehingga ramai yang membuka pos PAS.

Tiada ulasan: