Halaman

Rabu, 23 April 2008

Jawatan Presiden Umno: Abdullah sendiri dijangka gagal peroleh 30 peratus pencalonan
Oleh Siasahdaily


Kuala Lumpur: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini menghadapi dilema besar dan besar kemungkinan beliau terpaksa meletakkan jawatan menjelang pemilihan Umno akan datang ini.

"Pak Lah kini hadapi dilema apabila beliau sendiri dikatakan bakal tidak akan cukup 30 peratus pencalonan untuk bertanding jawatan presiden," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar berdasarkan cakap-cakap yang beliau dengar dari para pemimpin Umno.

Oleh itu, katanya, cakap-cakap soal kouta pencalonan tidak relevan lagi dalam Umno sekarang.

Di perkarangan hotel Sheraton Subang, kain-kain rentang dinaikkan meminta Abdullah mengundurkan diri secara terhormat melalui peralihan kuasa dan tuntutan dibuat agar proses itu dipercepatkan.

Mereka menamakan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Muhyidin Yasin sebagai pengganti Abdullah.

"Jika situasi ini berterusan, besar kemungkinan Pak Lah tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Presiden dan terpaksa berundur lebih awal," kata seorang wartawan yang membuat liputan pertemuan jawatankuasa Pengurusan Umno dengan pemimpin Umno Selangor itu.

Bagi Kamarudin, kesilapan besar Abdullah adalah apabila beliau meletakkan tarikh 2010 sebagai tarikh peralihan kuasa.

"Ini satu kesilapan besar dalam politik Umno. Ini satu signal yang sangat tidak baik dalam kepimpinan," kata beliau yang pernah menyertai parti itu sebelum ini.

Satu lagi kesilapan Abdullah adalah tidak memimpin sendiri misi bertemu dengan pemimpin Umno bawahan dan menyerahkannya kepada Najib. Padahal Najib pula adalah calon yang dikehendaki untuk melawan Abdullah sendiri, kata Kamarudin yang merupakan bekas pensyarah sains politik itu.

Nasib Abdullah dipercayai akan sama dengan Tun Ghafar Baba apabila penyandang jawatan Timbalan Presiden Umno itu terpaksa mengumumkan penarikan diri apabila pencalonan untuk Datuk Seri Anwar mendahului beliau dengan ketara hampir setiap berita mengenai pencalonan diumumkan oleh Berita Terkini TV3 pada waktu itu.

"Mungkin nasib Pak Lah akan sama dengan Ghafar, terpaksa menarik diri sebelum bertanding kerana kurang pencalonan," kata wartawan yang membuat liputan di hotel Sheraton Subang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.