HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Mei 2008

Kerajaan BN Selangor gagal laksanakan polisi setinggan sifar
Saidah Hairan


SHAH ALAM (Hrkh) - Walaupun ketika memerintah kerajaan BN-Umno melaksanakan polisi setinggan sifar namun sehingga kini masih terdapat 1,197 keluarga setinggan daripada 10 penempatan di seluruh negeri Selangor.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaporkan masih terdapat enam penempatan dengan 895 keluarga yang belum dirobohkan di daerah Majlis Perbandaraan Selayang.

"Di daerah Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ) satu penempatan dengan 79 keluarga dan Majlis Perbandaraan Klang, tiga penempatan dengan 223 keluarga," katanya dalam sesi soal jawab sidang DUN, pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan rambang mendapati masih banyak setinggan yang tidak dilaporkan oleh PBT.

Sebagai contoh katanya, MPAJ hanya melaporkan setinggan Kampung Fajar A dan B yang masih wujud tetapi siasatan awal mendapat lebih banyak penempatan yang tidak dimasukkan dalam bancian.

Menurut beliau, terdapat lebih kurang 10 buah rumah setinggan mendiami tapak sub stesen Tenaga Nasional Berhad di kampung Pandan.

Manakala 100 keluarga di bawah talian elektrik di Pandan Jaya di mana separuh daripadanya berada dalam kawasan negeri Selangor, jelasnya.

Sehubungan itu, Iskandar berkata, semua PBT dan Majlis Daerah telah diarah agar mengadakan bancian semula untuk mengenal pasti setiap keluarga setinggan yang masih berada di Selangor.

Beliau berkata, Majlis Perbandaraan Klang melaporkan terdadat tiga penempatan setinggan yang didiami oleh 223 keluarga.

Bagaimanapun, katanya, bancian terakhir bertarikh 7 Mei terdapat 12 penempatan setinggan dengan 1286 keluarga.

Selain itu katanya, daripada bancian Majlis Perbandaraan Selayang mendapati 895 keluarga, Majlis Daerah Kuala Selangor, 34 keluarga, Majlis Perbandaraan Kajang, 41 keluarga, Majlis Daerah Kuala Langat, 94 keluarga dan Majlis Daerah Hulu Selangor 66 keluarga.

Beliau mempertikaikan ketelusan kerajaan BN-Umno melaksanakan polisi setinggan sifar kerana kerajaan hanya memindahkan 46,285 daripada 47,482 keluarga.

Katanya, hanya 283 keluarga atau 0.6 peratus yang masih berada di tapak kerana urusan pinjaman bank yang belum selesai atau projek penempatan sementara (RKR).

"Seramai 268 keluarga telah membawa kes mereka ke mahkamah sementara setinggan yang lain masih menunggu penyelesaian masing-masing," jelasnya.

Iskandar kesal kerana kerajaan BN-Umno telah menggunakan Ordinan (kuasa-kuasa Perlu) Dharurat 1969 untuk mengusir penduduk.

Beliau berkata, ini mengakibatkan berlaku pertentangan di antara penduduk dan pihak berkuasa seperti yang berlaku di Kampung Berembang. - mns

Tiada ulasan: