Halaman

Khamis, 12 Jun 2008

10 pengusaha bas henti-henti mungkin gulung tikar


MELAKA - Kadar tambang bas henti-henti di negeri ini mungkin dinaikkan 100 peratus ekoran kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Melaka, Razali Endun berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian berikutan kenaikan kos pengendalian operasi bas yang meningkat sejak harga petrol dinaikkan kepada RM2.58 seliter berbanding RM1.58 sebelum ini.

Menurutnya, permohonan menaikkan kadar tambang itu telah dikemukakan kepada kementerian berkenaan dan keputusannya dijangka diketahui esok.

''Sekiranya permintaan kami ditolak dan tiada perubahan dalam pemberian subsidi diesel yang disediakan sebelum ini, kami tiada pilihan selain menamatkan operasi 10 syarikat bas henti-henti di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Kali terakhir tambang bas henti-henti dinaikkan ialah pada 2005 iaitu daripada 40 sen kepada 60 sen untuk dua kilometer.

Razali berkata, sekiranya permohonan persatuan itu diluluskan, tambang hari ini iaitu 60 sen untuk dua kilometer akan dinaikkan kepada RM1.20.

Katanya, jumlah subsidi diesel yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak cukup untuk menampung kos pengendalian operasi bas yang meningkat.

Sehubungan itu, kata beliau, kadar tambang sedia ada perlu dinaikkan memandangkan pihaknya tidak mampu lagi bertahan untuk menanggung kos pengendalian operasi bas yang meningkat secara mendadak selepas kenaikan harga minyak.

Katanya, kos alat ganti bas yang meningkat khususnya bagi barang seperti minyak hitam, bateri dan tayar kenderaan yang tidak dikawal.

''Perlu diingat, jika jumlah subsidi diesel ditambah juga, ia belum tentu dapat membantu pengusaha menampung kos pengendalian operasi bas,'' katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta kementerian melakukan perubahan drastik dalam sistem pengangkutan awam agar perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai lebih sistematik dan efisien.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.