10,000 peluang pekerjaan diwujudkan untuk OKU
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju menyediakan 10,000 peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya (OKU) hasil perbincangan badan petugas khas kementerian yang dibentuk Mei lepas.
Menteri berkenaan Datuk Dr Ng Yen Yen berkata JPA akan mula mengedarkan borang permohonan pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU mulai minggu depan, sekaligus memenuhi kuota satu peratus kakitangan perkhidmatan awam daripada kalangan OKU.
"Mereka (OKU) boleh mendapatkan borang berkenaan yang akan diedarkan kepada organisasi OKU seluruh negara dan permohonan mereka akan ditapis mengikut kriteria tertentu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada masa ini terdapat 581 pekerja OKU dalam perkhidmatan awam manakala dalam sektor swasta pula, jumlahnya tidak melebihi 5,000 orang dan terdapat 220,000 OKU yang berdaftar dengan JKM.
Ng berkata berapa isu yang dibincangkan dalam pertemuan yang diadakan baru-baru ini antara kementerian, wakil JPA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan wakil persatuan OKU, termasuk cukai jalan kenderaan OKU, penggunaan kerusi roda dan keprihatinan terhadap ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya, akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
"Kerajaan faham beban yang dipikul OKU berikutan kenaikan harga minyak bermula 5 Jun lepas dan keadaan itu turut memberi impak kepada sosioekonomi mereka. Sebab itu kementerian bersetuju mempertingkat bantuan kepada golongan OKU," katanya.
Ng berkata kementerian menambah had kelayakan penerima elaun bantuan OKU yang sebelum ini ditetapkan kepada mereka yang berpendapatan rendah sekitar RM750 sebulan dinaikkan kepada RM1,200 sebulan.
Beliau berkata kementerian juga sudah memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menaikkan elaun bantuan OKU dan golongan miskin yang berkeluarga tetapi tidak mampu bekerja daripada RM400 kepada RM700 sebulan.
Terdahulu, Ng melawat dua keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah di Jalan Chan Sow Lin dan menyerahkan bantuan JKM sebanyak RM1,270 dan barangan keperluan lain termasuk tikar, selimut, kit bencana serta makanan.
Kebakaran pada 13 Jun itu menyebabkan keluarga Jasmi Aziz, 41 dan Lee Kim Yew,45, tinggal sehelai sepinggang. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.