Halaman

Jumaat, 20 Jun 2008

Air percuma: Syabas kira dari 1 Jun
Malaysiakini


Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini mengesahkan bahawa bekalan air percuma 20 meter padu kepada penduduk Selangor berkuatkuasa 1 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, pihaknya hanya mengambil kira penggunaan air bermula bulan Jun dan untuk pengguna bermeter individu sahaja.

Katanya, pengiraan bagi 20 meter padu percuma itu, sama seperti pengiraan bil-bil bulanan yang dilaksanakan sebelum ini, iaitu mengikut jumlah 31 hari, demikian menurut laporan Bernama.

"Jika tempoh bil yang dikeluarkan Syabas kepada pengguna melibatkan sebahagian penggunaan air dalam bulan Mei, (maka) pengiraan air percuma hanya dibuat ke atas bahagian penggunaan bagi bulan Jun sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembahagian pengiraan jumlah hari, hanya akan dibuat apabila berlaku penggunaan air yang bertindih seperti bulan Mei dan Jun 2008.
Bayar rebet

Ruslan berkata, pembayaran untuk 20 meter padu pertama itu dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pihak kerajaan negeri Selangor.

Menurutnya, pembiayaan air percuma itu tidak termasuk pembayaran bagi pemotongan dan penyambungan bekalan air, penamatan bekalan air akaun yang telah ditutup atau penyesuaian debit bagi penggunaan air secara tidak sah.

Katanya, pemberian air percuma ini untuk kegunaan sehingga 20 meter padu satu-satu bulan sahaja dan jika kegunaan air untuk sesuatu bulan adalah kurang daripada 20 meter padu, jumlah baki meter padu yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke hadapan bagi dimuatkan ke dalam tempoh bil seterusnya.

Beliau berkata, caj minimum sebanyak RM6 tidak akan dikenakan kepada pengguna yang terlibat dengan pemberian 20 meter padu pertama air percuma kerana caj itu telah diambil kira dalam pembayaran oleh KDEB kepada Syabas setiap bulan.

Katanya, pengguna di Selangor juga akan menerima bil yang mencatatkan jumlah penggunaan air serta bayaran 20 meter padu pertama oleh KDEB sebelum catatan jumlah penuh yang perlu dibayar secara jelas dalam bil air mereka bermula 16 Jun.

"Pengguna terlibat yang telah menerima bil sebelum tarikh itu akan mendapat rebet yang akan dimasukkan ke dalam bil bulan Julai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.