Celcom, hentikan '100 hari 100 kereta'
Malaysiakini
Peraduan kontroversi '100 hari 100 kereta' anjuran Celcom Mobile Sdn Bhd diarah dihentikan segera susulan bantahan orang ramai, termasuk mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Arahan itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengawal industri telekomunikasi dan internet.
Dalam satu kenyataannya hari ini, lapor Bernama, SKMM juga mengarahkan Celcom mengembalikan semula bayaran kepada para pelanggan yang mengambil bahagian dalam peraduan itu.
"Celcom juga diminta menyediakan maklum balas secara bertulis, menyatakan alasan kerana tidak mematuhi arahan, selewat-lewatnya 16 Jun," kata suruhanjaya itu.
SKMM menyiasat aduan tentang peraduan itu dan mendapati wujud unsur-unsur ketidakpatuhan Kod Amalan Pelanggan Am.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengadakan mesyuarat untuk menentukan halal-haram peraduan selepas kenyataan Dr Mohd Asri.
Minggu lalu, peraduan yang bermula 2 Jun lalu disifatkan oleh mufti itu sebagai "mengandungi unsur perjudian" dan menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertainya.
"Peraduan itu disifatkan sebagai perjudian kerana bayaran perlu dibuat untuk menjawab setiap soalan sebagaimana judi nombor ekor," katanya.
"Dalam peraduan ini, kita perlu bayar atau dicaj RM5 untuk meneka atau menjawab satu soalan. Itu adalah pertaruahan, dan pertaruhan adalah satu perjudian."
Peraduan itu yang dijadual berakhir 9 September ini menawarkan sebuah kereta setiap hari kepada pemenang yang mengumpul mata tertinggi setelah menjawab soalan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.