Halaman

Isnin, 16 Jun 2008

Komputer tergendala
Oleh RIDZUAN AHMAD


ALOR STAR: Sistem komputer yang tergendala hampir 40 minit di Ibu Pejabat Pos Malaysia Bhd Jalan Stadium, di sini, semalam, menyebabkan ramai pemilik kenderaan merungut kerana terpaksa berbaris panjang untuk menuntut bayaran rebat tunai kenderaan persendirian fasa pertama.

Keadaan berlaku kira-kira jam 8.40 pagi ketika hampir 500 pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan dari 1 April hingga 31 Mei lalu terpaksa berbaris di kaunter luar untuk mengisi borang tuntutan.

Pesara, Peter Cheah, 70, berkata dia mula menunggu dan beratur awal sejak jam 7.15 pagi pada hari pertama untuk menuntut rebat tunai bagi dua kenderaan miliknya.

“Saya memang menjangka ramai orang dan terpaksa datang kerana bimbang kerajaan mengubah keputusan yang dibuat mengenai rebat itu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, walaupun tahu tempoh fasa pertama dilanjutkan sehingga 30 Mac depan, dia tetap datang kerana ingin melihat perkembangan yang berlaku mengenai rebat itu.

Noriah Mat Isa, 35, pula kurang berpuas hati dengan sistem yang diwujudkan pihak terbabit kerana pemilik kenderaan terpaksa berbaris panjang di luar dan mengambil masa lama untuk mengesahkan borang tuntutan.

Menurutnya, Pos Malaysia sepatutnya mewujudkan satu kaunter saja dan terus memberi nombor giliran kepada pemilik kenderaan ketika mereka mengisi borang tuntutan.

“Saya mengambil masa hampir tiga jam sebelum mendapatkan rebat tunai sebanyak RM625 dan banyak masa dihabiskan menunggu di luar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pos Malaysia Kedah dan Perlis, Jaafar Abd Rahman, berkata pihaknya memang menjangka ramai pemilik kenderaan akan datang untuk menuntut bayaran rebat tunai berkenaan.

Menurutnya, selain mengesahkan borang tuntutan, kewujudan dua kaunter di bahagian luar adalah untuk mengurangkan kesesakan.

“Sebanyak enam kaunter pembayaran dibuka dan seramai 21 pegawai dan kakitangan bersiap sedia sepanjang operasi tuntutan rebat tunai pada hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, pengguna tidak perlu tergesa-gesa membuat tuntutan memandangkan tempoh tuntutan dilanjutkan kira-kira 300 hari iaitu dari 14 Jun hingga 31 Mac 2009.

Katanya, bagi pemilik kenderaan yang tidak mahu bersesak atau sibuk, mereka hanya perlu memasukkan borang tuntutan ke dalam kotak khas yang disediakan dan akan menerima rebat dalam tempoh maksimum tujuh hari bekerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.