Halaman

Jumaat, 20 Jun 2008

Krim pembakar
Oleh Efindi Badarudin dan Mohd Harzrul Aminuddin


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang berhasrat menegangkan kulit muka mendakwa menderita akibat kesan daripada penggunaan sejenis krim kosmetik berikutan wajahnya menjadi lebam dan berwarna kehitaman seperti dibakar.

Penderitaan mangsa yang juga seorang suri rumah, Noraini Jaafar, 47, bermula kira-kira dua bulan lalu apabila dia diperkenalkan dengan krim terbabit yang didakwa mampu menegangkan kulit muka serta menyerikan wajah yang sudah berusia.

Bagaimanapun, selepas tiga hari menggunakan krim itu, wajahnya yang sebelum ini putih bertukar gelap seakan terbakar dan melecur.

Noraini dimaklumkan mengenai krim terbabit melalui seorang rakan yang memperkenalkan produk kosmetik berkenaan.

“Apabila saya beritahu masalah itu, dia datang melihat dan memaklumkan ia kesan sampingan biasa. Saya juga dimaklumkan tidak perlu risau dengan keadaan wajah ini.

“Sebaik mendengar penjelasan rakan itu, kegelisahan saya hilang dan yakin wajah akan sembuh dalam beberapa hari,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata mangsa, selepas seminggu, wajahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan menyebabkan dia memaklumkan semula kepada rakannya.

“Semua rakan saya datang melihat sebelum mereka mencadangkan saya menggunakan air suling pula.

“Mereka kata air itu mampu menyembuh pelbagai penyakit, termasuk menghilangkan kesan sampingan pada kulit muka saya yang hitam itu,” katanya.

Lima hari kemudian, Noraini berkata, kulitnya menggelupas dan bertukar keputihan selain melekit apabila disentuh.

“Muka saya juga bengkak seperti disengat tebuan dan saya juga tidak dapat menyentuh muka kerana terlalu sakit,” katanya.

“Saya menghubungi rakan semula untuk memberitahu hal itu, tetapi mereka tetap menyuruh saya menggunakan air itu berulang kali,” katanya.

Selepas sebulan menderita akibat penggunaan krim berkenaan, dia berjumpa pakar kecantikan yang mengeluarkan krim kosmetik itu.

Pakar kecantikan itu merujuk mangsa kepada seorang doktor kulit yang berkhidmat dengan syarikat mengeluarkan krim dan air suling terbabit sebelum dia dipersalahkan kerana tidak mengikut aturan pemakaiannya.

Menurut Noraini, dia memaklumkan doktor berkenaan bahawa dia mengikut segala aturan ditetapkan.

“Tetapi, muka saya bertambah parah apabila menggunakan air suling berkenaan,” katanya.

Mangsa berkata, pelbagai klinik kulit dikunjunginya sebelum dirujuk kepada Pakar Kulit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

“Ujian di HUSM mendapati kulit muka saya rosak teruk akibat penggunaan krim kosmetik dan air suling itu.

“Pakar itu memaklumkan jika mahu wajah saya kembali normal saya tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari kerana tisu muka saya mengalami masalah serius akibat penggunaan bahan yang mengandungi asid terbabit,” katanya.

Katanya, dia juga membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum merujuk kepada persatuan pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.