Mukhriz mahu sistem kuota dihapuskan
ALOR STAR: Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir mahu sistem kuota yang memberi kelebihan kepada penyandang dihapuskan dan 3.5 juta anggota Umno dibenarkan membuat pencalonan bagi memastikan pemilihan parti yang dijadualkan Disember ini bersih daripada politik wang.
Beliau berkata pemilihan peringkat cawangan parti Julai ini adalah antara yang terpenting buat Umno berikutan pencapaian kurang memberangsangkan pada pilihan raya umum Mac lepas.
"Seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu malahan negara asing turut memerhati untuk melihat sama ada Umno akan berubah ke arah kebaikan atau mengekalkan cara lama yang ditolak rakyat dan dibuktikan pada pilihan raya umum ke-12 lepas," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis doa selamat sempena 100 hari menjadi anggota Parlimen Jerlun dan merasmikan Pusat Khidmat Anggota Parlimen Jerlun di Padang Sera, 40 kilometer dari sini malam tadi, beliau berkata imej Umno terjejas kerana masih ada persepsi rasuah politik dalam parti.
"Oleh itu saya cadangkan setiap cawangan pada mesyuaratnya Julai ini mengusulkan senarai pemimpin pilihan mereka di peringkat nasional dari presiden, timbalan, naibnaib presiden, majlis tertinggi serta kepimpinan tertinggi Wanita, Pemuda dan Puteri
"Dengan cara ini seramai 3.5 juta ahli dari akar umbi akan bertanggungjawab memilih pemimpin khususnya presiden dan timbalan presiden, bukan 2,500 perwakilan yang mewakili mereka dan juga rakyat Malaysia," kata Mukhriz.
Katanya bahagian hendaklah menerima calon yang mendapat lebih 50 peratus pencalonan oleh cawangan dan perwakilan perlu akur kepada keputusan yang telah dibuat.
"Sebelum ini anggota cawangan hanya hadir dan membuat pencalonan tetapi pada akhirnya perwakilan yang menentukan siapa yang akan jadi pemimpin.
"Kebarangkalian berlaku rasuah adalah besar. Sekiranya cadangan ini diguna pakai, rasuah boleh dielakkan berikutan keputusan telah dibuat pada peringkat akar umbi," katanya.
Mukhriz yang juga anggota Exco Pemuda Umno berkata dengan cara ini juga mesyuarat cawangan akan lebih ceria dan memastikan kehadiran lebih ramai anggota.
Katanya sistem kuota yang memberikan kelebihan kepada penyandang tidak adil kepada tokoh baru yang hendak menonjolkan diri.
Beliau juga berpendapat adalah pelik yang kuasa menghapuskan sistem kuota itu terletak pada Majlis Tertinggi kerana sebenarnya ia memberi kelebihan kepada anggotanya.
Mengenai hasratnya bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, Mukhriz mendakwa beliau mendapat sokongan positif dalam kalangan anggota Pemuda yang kini mencapai 65 peratus.
Beliau yang merupakan anggota Umno Bahagian Kubang Pasu bagaimanapun belum berhasrat bertanding sebarang jawatan peringkat bahagian itu atau berpindah menjadi anggota bahagian Jerlun.
Mengenai usaha Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik anggota Parlimen dari MCA dan Umno menyertai pakatan pembangkang, beliau yakin anggota Parlimen terbabit tetap setia bersama Barisan Nasional (BN) walaupun mereka pernah menyuarakan perkaraperkara kritis terhadap kerajaan.
Katanya usaha Anwar itu lebih kepada perang saraf dan juga mungkin ada unsur sogokan untuk menarik anggota Parlimen terbabit melompat parti. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan