Halaman

Isnin, 16 Jun 2008

Orang KL','tangan ghaib' punca Umno tewas - Ku Li
Basiron Abdul Wahab


TEMERLOH (Hrkh) - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa pemimpin Umno sombong dan tidak mendengar pandangan akar umbi adalah di antara punca menyebabkan Umno ditolak dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan, beliau kembali ke Gua Musang tetapi beliau dapati Umno bahagian tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya sedangkan PAS telah beberapa bulan bersiap sedia. Ini kerana ahli bawahan tidak menjangka pilihan raya akan diadakan pada tarikh itu.

'Orang Kuala Lumpur'

Katanya,jika beliau memimpin Umno, beliau mahu ahli Umno di peringkat akar umbi diberi kuasa memilih pemimpin di peringkat negeri, bukan lagi pemimpin yang ditunjuk dari pusat bagi mengukuhkan Umno kembalikan.

"Kita tidak mahu 'orang Kuala Lumpur' menunjuk dan menentukan siapa menjadi pengerusi perhubungan dan siapa menjadi calon seperti yang berlaku sekarang," katanya ketika menyampaikan Ucaptama dalam majlis 'Pacsa Pilihan raya Umum ke-12,Politik Malaysia dan Masa Depan Negara' di Mentakab baru-baru ini anjuran Ketua-ketua Umno Cawangan seluruh Pahang.

Katanya, kuasa ahli wajar dikembalikan termasuk menentukan pengerusi perhubungan negeri dan calon di kawasan pilihan raya masing-masing.

Beliau mendakwa dalam pilihan raya lalu, ada tangan-tangan 'ghaib' yang menukar senarai calon menyebabkan ahli menolak calon itu yang akhirnya menyebabkan Umno/BN kalah.

"Apabila kalah, mereka tuduh ahli (Umno) belot dan parti kalah di lima negeri, walhal ahli kita ini baik, mereka bukan pembelot, ahli Umno tidak pernah belot terhadap partinya," kata beliau.

Dalam ucapan selama hampir satu jam itu, Razaleigh turut menawarkan diri untuk memimpin Umno sebagai mewarisi kepimpinan dan idea Alahyarham Tun Abdul Razak, Bapa pembangunan Malaysia.

'Saya tidak ada anak usahkan menantu'

Mengenai kenaikan harga minyak sebanyak 40 peratus, beliau berkata, "jika saya, saya tidak akan melakukan demikian, saya tidak akan memilih untuk menyusahkan rakyat, kita cari cara lain begitu juga isu pemberian rebet yang menyebabkan rakyat berasak-asak di pejabat pos. Ia menyusahkan rakyat.

"Ia hanya menyusahkan rakyat, pemimpin ini tidak habis-habis untuk menyusahkan rakyat," katanya.

Beliau berjanji, pentadbirannya tidak akan diganggu oleh keluarga kerana beliau tidak mempunyai anak apa lagi menantu.

"Saya tidak ada anak usahkan menantu,"katanya sinis diikuti sambil tepukan gemuruh para hadirin.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi penganjur, Dato' Ahmad Tajudin Sulaiman, bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno, Pahang; bekas Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Sabaruddin Chik; Dato' Wan Abu Bakar; bekas Timbalan Menteri; Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Guai, Kuala Sentul dan Kuala Semantan, Dato' Mustapaha Yasin, Dato' Rosni Zahri dan Dato' Md Hamdan Sudin.

Lebih 800 ahli dan pemimpin Umno mengikuti ucpacan Ku Li itu dan dalam ucapan sama Ku Li turut mendedahkan sebuah parti komponan BN akan keluar daripada pakatan itu tanpa menyebut nama parti terbabit.

"Jika satu keluar, akan ada yang akan mengikutinya, jika ini berlaku ia akan menghancurkan BN,"ujarnya. - mks._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.