Halaman

Sabtu, 21 Jun 2008

Orang ramai dinasihat tidak beli atau makan ikan buntal


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak membeli atau memakan ikan buntal berikutan berlakunya enam kes keracunan makanan akibat memakan telur atau isi ikan itu yang dilaporkan sejak dua bulan lepas.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata dua daripada 36 mangsa berkenaan meninggal dunia dalam kejadian berasingan di Johor Bahru, Kota Tinggi, Batu Pahat, Kulai dan Pontian.

Katanya Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengeluarkan notis larangan penjualan ikan buntal kepada orang awam di semua pasar dan premis di seluruh negeri berkenaan.

"Ikan buntal mempunyai racun semulajadi iaitu tetradoxin yang terdapat banyak dalam hati, ovari dan usus ikan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata racun ikan itu sangat merbahaya dan tidak dapat dimusnahkan dengan suhu, malah boleh menyebabkan gangguan sistem saraf yang serius dan boleh membawa maut.

Katanya keracunan boleh berlaku jika proses menyiang ikan dilakukan dengan tidak berhati-hati.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada Jabatan Kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya terdapat penjualan telur, isi atau apa-apa produk daripada ikan buntal di Johor, kata Dr Hasan.

"Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapat rawatan di klinik-klinik atau hospital jika mengalami simptom-simptom keracunan seperti rasa kebas di mulut, lidah, muka, hujung tangan dan kaki, muntah, cirit-birit, sakit perut, pening, sukar bercakap dan kelumpuhan," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.