Pasangan gelojoh
Oleh Norfaisal Jahuri
MELAKA: Sepasang bakal pengantin yang akan melangsungkan pernikahan esok dicekup kerana berkhalwat oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di Bachang dekat sini, awal pagi kelmarin.
Pasangan terbabit yang berusia awal 30-an ditahan kira-kira jam 2 pagi di rumah bakal pengantin perempuan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai tindakan seorang lelaki masuk ke rumah berkenaan yang disewa seorang wanita sebelum membuat serbuan.
Katanya, mereka mengambil masa hampir 30 minit untuk membuka pintu sebaik pegawai syariah Jaim mengetuk pintu bagi pemeriksaan lanjut.
“Sebaik pintu rumah dibuka wanita berkenaan, kelihatan seorang lelaki berpakaian lengkap keluar dari bilik utama.
“Ketika ditanya apa hubungannya dengan lelaki terbabit, wanita berkenaan menyatakan dia tunangnya. Pemeriksaan lanjut mendapati hanya mereka berdua di rumah itu.
“Sebaik mendapati pasangan berkenaan tiada hubungan mahram, mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Berdasarkan siasatan, kata Rahimin, lelaki terbabit mendakwa datang ke rumah tunangnya kira-kira jam 12.30 tengah malam apabila diminta membeli ubat.
Dia turut mendakwa wanita itu mengalami sakit kepala.
Katanya, lelaki berkenaan turut mendakwa mahu membincangkan mengenai persiapan majlis pernikahan mereka.
“Pasangan itu mendakwa akan bernikah Sabtu ini (esok),” katanya.
Bagaimanapun, mereka ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka, 1991, kerana bersekedudukan dengan bukan mahram.
“Sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, ikatan pertunangan bukannya lesen untuk membolehkan pasangan itu berdua-duaan.
“Saya menasihatkan pasangan kekasih supaya tidak sesekali berdua-duaan di tempat sunyi kerana dikhuatiri berlaku maksiat. Kami tidak mahu kejadian buang bayi disebabkan hubungan yang terlanjur,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.