Pemuda Pas bantah konsert rock
Sinar Harian
SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Selangor akan mengadakan perhimpunan membantah konsert Ratu Rock, Ella dan Ratu Dangdut, Mas Idayu jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap memorandum bantahan yang dihantar kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam.
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Solihin Mokhyi berkata kerajaan negeri perlu prihatin terhadap sebarang kelulusan aktiviti hiburan agar tidak mengundang risiko moral dan peningkatan gejala sosial yang semakin membimbangkan.
"Kerajaan negeri perlu melihat semula Akta Hiburan Negeri, kaji balik untuk mengelak aktiviti hiburan yang melampau. Tak perlu sama macam Kelantan atau mengharamkan terus aktiviti hiburan di negeri ini tetapi biarlah bersesuaian dan dapat membentuk nilai-nilai murni, sahsiah dan moral anak-anak muda di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik, Nik Nazmi Nik Ahmad di Pejabat Menteri Besar, di sini.
Sempena sambutan 100 hari, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Kelab Darul Ehsan Berhad akan menganjurkan pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor iaitu antara pasukan pilihan Selangor dengan Singapura.
Katanya, Menteri Besar perlu bertindak agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi khususnya Pas dalam kerajaan yang baru diamanahkan oleh rakyat.
Beliau berkata, konsert itu hanya menggambarkan program gaya hidup mewah dan membazir sedangkan pada waktu yang sama rakyat berada dalam kegelisahan dan tekanan akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan.
Katanya, Pemuda Pas Selangor menyokong penuh pertandingan tersebut kerana sukan merupakan salah satu kegiatan hidup dan mampu menjana ekonomi negeri.
“Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella. Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam,” katanya.
Solihin berkata isu prinsip seperti menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak boleh dikompromi atau ditutup sebelah mata oleh Pas, sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan Islam sejak 50 tahun.
"Rakyat Selangor mesti dipacu ke arah memiliki akhlak dan moral yang baik di samping maju dan sejahtera dalam suasana bersih, telus dan bebas rasuah. Konsert itu akan mengundang imej yang tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari pihak berkenaan memerintah negeri Selangor," katanya.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengambil pendekatan berkecuali dan enggan memberi komen tindakan Dewan Pemuda Pas Selangor membantah konsert yang diadakan pada pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor itu.
Ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ketika dihubungi semalam menegaskan, isu tersebut perlu diselesaikan menerusi perbincangan melibatkan semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
"Perlu ada satu platform atau mekanisme membolehkan semua pemimpin termasuk pemimpin sayap parti berbincang, bersuara dan memberikan idea berhubung apa jua isu. Bukan niat mengganggu urusan pentadbiran negeri tetapi pendekatan ini perlu dalam perjalan pentadbiran kerajaan," katanya.
Tambah Khairul Anuar, menerusi kaedah sama juga penyertaan semua pemimpin PR juga akan menghasilkan satu resolusi untuk kebaikan bersama.
"Seperti saya nyatakan, AMK tidak membantah atau menyokong tindakan tersebut kerana DPP melakukan tugas mereka yang mewakili suara tuntutan penjelasan pengundi mereka. Paling penting, ianya mampu diselesaikan menerusi pendekatan yang dinyatakan tadi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.