Halaman

Ahad, 22 Jun 2008

Ramai artis ditipu bomoh
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid


KUALA LUMPUR: Segelintir wanita orang kenamaan (VIP) dan artis yang terlalu taksub dengan kecantikan walaupun sudah berusia tidak mengetahui mereka menjadi mangsa penipuan beberapa bomoh yang menggunakan susuk tiruan seperti tembaga, besi suasa atau kaca.

Bomoh terbabit mendakwa susuk yang dimasukkan ke dalam badan adalah emas atau berlian asli sedangkan ia palsu.

Pengamal perubatan seperti itu mampu hidup mewah melalui perbuatan haram di sisi agama.

Perbuatan syirik berkenaan ternyata berjaya memperdaya golongan singkat iman itu apabila diminta membayar pengeras antara RM5,000 hingga RM25,000 bagi setiap rawatan susuk diberikan.

Penipuan licik itu didedahkan bekas pensyarah Universitas Pembinaan Masyarakat di Medan, Mohamad Idrus Abu Hanifah yang kerap kali merawat artis dan wanita VIP terbabit kerana menderita akibat sukar mengeluarkan susuk dipakai.

Dia yang mendakwa mempunyai kebolehan mengeluarkan susuk dari tubuh pesakit lelaki atau perempuan menganggap pemakaian alat ilmu hitam itu sebagai dosa besar.

Ini berikutan ia mampu memesongkan akidah selain membuat pemakainya mempercayai kekuasaan syaitan lebih daripada kebesaran Allah.

“Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan mangsa yang memakai susuk bertitik tolak daripada perasaan ‘jatuh saham’ atau ‘tidak laku’ terutama wanita atau artis yang meningkat tua.

“Artis terbabit yang merasakan kedudukan mereka terancam dengan kemunculan ramai artis muda dan jelita mula terdesak lalu mengambil jalan singkat dengan memakai susuk,” katanya kepada Harian Metro.

Mohamad Idrus berkata, perbuatan menyimpang akidah itu menagih perbelanjaan puluhan ribu ringgit dengan menemui bomoh untuk memakai susuk kononnya bagi memastikan tubuh badan dan wajah sentiasa nampak cantik dan berseri.

“Bagaimanapun, artis wanita terdesak yang dulunya popular tidak menyedari mereka ditipu bomoh pembelit yang hanya mahukan wang menerusi ilmu hitam diamalkan.

“Saya pernah mengeluarkan susuk yang didakwa berlian dan emas dipakai beberapa artis popular veteran. Bagaimanapun, selepas diteliti, susuk itu bukanlah tulen,” katanya sambil menunjukkan susuk berlian dan emas yang didakwa asli oleh bomoh yang `menanamnya’ di tubuh artis terbabit.

Dia berkata, secara mata kasar memang sukar membezakannya sama ada susuk itu asli atau tiruan, tetapi apabila dikikis, susuk yang berbentuk seakan jarum itu jelas kelihatan besi yang hanya disalut cat emas.

Kristal yang didakwa berlian pula tidak dapat memotong kaca seperti sepatutnya mampu dilakukan dalam sifat berlian tulen.

“Ketika menemui saya, mereka mendakwa berhabis antara RM5,000 hingga RM25,000 yang dikenakan bomoh untuk satu sesi memasukkan susuk.

“Lebih malang, artis terbabit bukan hanya ditipu wang ringgit, malah akidah mereka turut terjejas kerana terlalu taksub dengan keupayaan susuk yang didakwa boleh memberi seri,” katanya.

Katanya, bomoh terbabit mendakwa harga mahal dikenakan kerana proses memasukkan susuk sukar, kononnya perlu melalui upacara ritual yang mengambil masa lama.

Ditanya alasan artis berkenaan membuang susuk itu, Mohamad Idrus berkata, mereka berbuat demikian kerana takut menghadapi kesukaran menjelang ajal selain diganggu makhluk halus.

Katanya, setiap bomoh pasti menggunakan makhluk halus untuk dijadikan ‘kawan’ bersama susuk yang ditanam supaya artis terbabit tidak sakit ketika proses memasukkan susuk itu.

“Bohong jika ada bomoh mengatakan mereka hanya menggunakan ayat al-Quran untuk memasukkan susuk kerana perbuatan percaya susuk itu sendiri syirik dan khurafat,” katanya.

Menurutnya, susuk yang ditanam pada muka boleh dilihat dengan X-Ray apabila si pemakai mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.