Halaman

Sabtu, 14 Jun 2008

Rebat tunai babitkan RM24 juta dituntut dalam 3 jam pertama
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Rebat tunai bernilai kira-kira RM24.12 juta telah dituntut dalam tempoh tiga jam pertama di pejabat-pejabat Pos Malaysia Berhad seluruh negara.

Jumlah itu membabitkan sebanyak 47,774 kenderaan.

Fasa pertama pemberian rebat tunai ini melibatkan kenderaan bermotor (kereta dan motosikal) berjumlah 1.7 juta.

"Bagaimanapun pemilik kenderaan diminta tidak tergesa-gesa menuntut rebet itu hari ini dan esok kerana tarikh akhir tuntutan hanya akan berakhir pada 31 Mac 2009," kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor kepada pemberita selepas melawat Pejabat Pos Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.

Shaziman juga menasihatkan pemilik kenderaan berhati-hati dengan wang yang diterima selain langkah Pos Malaysia Berhad sendiri yang mengambil langkah keselamatan di premis-premis pejabat pos di seluruh negara.

Kata beliau, sebahagian pejabat Pos Malaysia akan dibuka esok - pada Ahad - seperti biasa bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan yang ingin menuntut rebat tunai.
Jelas beliau, Pos Malaysia telah memaklumkan bahawa kaunter-kaunter utama di setiap negeri akan turut dibuka esok.

“Pos Malaysia juga bercadang untuk membuka kaunter mereka yang terdapat di pusat-pusat membeli-belah agar orang ramai boleh menuntut rebat tunai mereka dengan mudah,” kata beliau yang sebelum itu membuat tinjauan di Pejabat Pos Taman Tun Dr. Ismail di sini pagi ini.

Hari ini pejabat pos itu dibuka seawal pukul 7.45 pagi berbeza pada kebiasaannya iaitu 8.30 pagi.

Orang ramai yang ditemui di pejabat pos itu rata-rata berpuas hati dengan layanan serta kecekapan kakitangan yang pos yang bertugas.

Pejabat pos akan turut beroperasi seperti biasa bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Shaziman berkata, beliau juga berpuas hati dengan perkhidmatan cekap yang diberikan kakitangan pejabat pos itu kerana pergerakan urusan di kaunter berjalan dengan lancar.

“Walaupun ramai yang datang pagi ini, namun saya lihat urusan di kaunter begitu lancar.

“Saya difahamkan kakitangan pos telah mengasingkan wang RM625 bagi kereta dan RM150 bagi motosikal untuk mempercepatkan proses di kaunter,” katanya.

Katanya, pada awal pagi ini timbul sedikit masalah di Pejabat Pos Paloh, Johor membabitkan pangkalan data, namun Pos Malaysia dapat menyelesaikannya dalam tempoh kurang dari setengah jam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin menuntut rebat tunai, mereka boleh memuat turun borang tuntutan di laman web Pos Malaysia bagi mempercepatkan urusan agar tidak menunggu lama.

“Kalau datang baru nak isi borang, mungkin akan buang masa. Jadi lebih baik muat turun borang di internet dan isi siap-siap di rumah,” katanya lagi.

Beliau menekankan bahawa proses pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan dari 1 April hingga 31 Mei 2008, akan berterusan sehingga 31 Mac 2009.

“Orang ramai tidak perlu risau. Kisa sediakan tempoh yang panjang untuk mereka menuntut subsidi yang diberikan.

“Oleh itu saya nasihatkan jika hari ini anda tidak sempat untuk berbuat demikian, tuntutan masih boleh dibuat pada hari-hari lain sehingga 31 Mac 2009,” katanya.

Beliau berkata Pos Malaysia telah membuat persedian rapi dari segi jumlah kewangan yang di bekalkan di kaunter-kaunter pos seluruh negara bagi mengelakkan kehabisan wang.

“PMB telah bersedia. Namun kemungkinan kecil masalah itu wujud di kawasan-kawasan terpencil. Bagaimanapun PMB akan memberikan wang kiriman pos sekiranya kehabisan wang,” katanya.

Orang ramai yang ingin memuat turut borang tuntutan rebat atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai pejabat pos yang dibuka esok boleh melayari laman web Pos Malaysia di alamat www.pos.com.my.

Beliau berkata, bagi pemilik kenderaan yang memiliki kad pengenalan sementara, Pos Malaysia sudah diminta bekerjasama untuk turut memberikan rebet tunai berkenaan dengan syarat pemohon turut mengepilkan surat laporan polis.

Ia bagi mengelakan penipuan dan juga memastikan tuntutan rebet berkenaan.

Shaziman berkata bagi kawasan terpencil dan jauh dari pejabat pos, pembayaran akan dibuat melalui kiriman wang.

Bagi pemilik kenderaan yang dilengkapi sistem gas asli (NGV), mereka tidak layak untuk menuntut rebet, katanya.

Katanya, operasi biasa Pos Malaysia tidak akan terjejas kerana pembayaran dibuat di semua kaunter di pejabat-pejabat pos.

Mengenai cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia supaya seseorang individu hanya layak dibayar rebet tunai bagi sebuah kenderaan berbanding maksimum lima kenderaan sekarang, beliau berkata, ia perlu dikaji terlebih dahulu.

Dalam pada itu, sedikit kekecohan berlaku di Pejabat Pos di Miri Sarawak apabila beberapa pemilik kenderaan gagal mendapat rebet tunai kerana dikatakan tidak layak.

Penuntut rebet yang hanya mahu dikenali sebagai Ting berkata beliau terkejut apabila petugas kaunter pejabat pos itu memberitahunya yang beliau bukan pemilik berdaftar sebuah kereta terpakai yang telah digunakannya sejak lima tahun lepas.

Katanya rekod di pejabat pos itu hanya menunjukkan nama pemilik awal kereta berkenaan dan bukan nama beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.