RM5 bilion bayar rebat kenderaan
PUTRAJAYA – Kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan RM5 bilion pada tahun ini untuk pembayaran rebat kenderaan bagi mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, bayaran rebat tunai RM625 kepada pemilik kenderaan persendirian di bawah 2000cc yang memperbaharui cukai jalan boleh dituntut di Pejabat Pos mulai Sabtu ini.
Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun.
Menurut beliau, jumlah rebat yang dibayar oleh kerajaan itu dibuat selepas mengambil kira anggaran jarak perjalanan pengguna kenderaan itu sejauh 50 kilometer sehari.
“Rebat ini dibayar supaya dapat melegakan rakyat berikutan kesan kenaikan harga petrol dan diesel, masing-masing dinaikkan kepada RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter,’’ katanya pada taklimat media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan akan mengkaji semula unjuran bajet defisit sebanyak 3.1 peratus dalam Bajet 2009 kerana sasaran awal yang ditetapkan tahun ini dibuat berdasarkan harga purata minyak sebanyak AS$70 (RM228.9) setong.
Kajian semula perlu dibuat kerana harga minyak sekarang melonjak melebihi AS$139 (RM454.5) setong dan ada kemungkinan harga bahan api itu mencecah AS$150 (RM490.5) tidak lama lagi.
Beliau berkata, Malaysia mencatatkan bajet defisit sebanyak 5.5 peratus pada 2000 tetapi kadar itu telah berjaya dikurangkan kepada 3.2 peratus tahun lalu.
Nor Mohamed berkata, negara boleh mencatatkan bajet defisit enam peratus pada tahun ini sekiranya kerajaan terus meningkatkan jumlah pemberian subsidi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan