Selangor beri RM10 juta kepada anak negeri ke IPTA
Saidah Hairan
SHAH ALAM (Hrkh) - Kira-kira 10,000 anak-anak rakyat Selangor yang berjaya menjejaki kaki ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan mendapat wang sumbangan sebanyak RM1,000 seorang mulai bulan depan.
Ini satu lagi kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya walaupun belum sampai 100 hari memerintah negeri.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Rakyat menunaikan satu lagi janji dengan memperuntukkan wang sebanyak RM10 juta untuk membiayai pendidikan anak-anak Selangor.
Sebelum ini katanya, lebih sejuta rumah di negeri Selangor mula menikmati air percuma bagi penggunaan 20 meter padu bernilai RM11.40 pada bil air bulan ini.
Beliau berkata perkara itu dapat dijayakan pada ketika pihak pembangkang Umno-BN sering meragui kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat merealisasikan manifesto tersebut.
Sebenarnya kata beliau, kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin dan bertanggungjawab bagi memenuhi harapan dan permintaan rakyat negeri Selangor.
"Kami berusaha menunaikan segala janji dalam manifesto secara berperingkat-peringkat tetapi kami tetap akan mengkaji perancangan yang dibuat agar ia dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor, di Dataran SUK, Shah Alam pagi tadi.
Dalam pemberian air percuma itu beliau menyelar tindakan RTM yang menyiarkan ulasan berita pada 12 Jun bahawa pemberian air percuma itu merupakan satu pembaziran dan kerajaan negeri bakal kerugian hingga RM11 juta setiap bulan.
Berhubung sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat, katanya, kerajaan akan menterjemahkan konsep itu berdasarkan sumber negeri dan bagaimana rakyat dapat menikmatinya.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan, negeri mempunyai tanah pasir di mana kerajaan dahulu memberi lesen untuk mengambil pasir dan terus mendapat royalti daripada pasir tersebut.
Katanya, jika mengikut pengiraan kerajaan Pakatan Rakyat jika ia dibayar dengan cara begitu rakyat hanya mendapat tidak lebih 10 peratus daripada hasil tersebut.
"Pasir itu hak rakyat dan jika diuruskan dengan telus semua hasil pasir itu kita akan mendapat 100 peratus setelah ditolak kos pengendalian," tegasnya.
Dalam sambutan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat akan menerangkan apakah janji yang telah dibuat dan akan ditunaikan sebagaimana yang tercatat dalam manifesto, katanya.
- lanh _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.