Siasatan terhadap syarikat tipu pakej umrah
BAGAN DATOH: Jabatan Wakaf Zakat dan Haji telah memulakan siasatan terhadap syarikat pelancongan yang didakwa melakukan penipuan dalam pakej umrah yang ditawarkannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata siasatan itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Lembaga Tabung Haji dan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi.
"Kerajaan memandang serius kegiatan tidak bermoral itu kerana ia merupakan satu jenayah," katanya mengulas laporan akhbar barubaru ini mengenai sebuah syarikat pelancongan didakwa menawarkan pakej umrah dengan bayaran hanya RM300 tetapi peserta sebaliknya terpaksa membayar RM5,900 seorang.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Koperasi Jaya Sepakat Indah Damai Kampung Sungai Pergam di sini malam tadi, beliau berkata tindakan tegas boleh diambil terhadap syarikat pelancongan yang gagal memberi perkhidmatan yang ditawarkan, antaranya lesen dibatalkan dan disenaraihitamkan.
Syarikat terbabit juga boleh didakwa di mahkamah bagi kesalahan menipu, katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan syarikat atau individu yang menawarkan pakej atau tambang murah seperti itu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mengingatkan guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) supaya tidak menyebarkan fahaman politik dengan memburukburukkan kepimpinan kerajaan sekarang kepada murid.
"Kita telah menerima aduan daripada ibu bapa mengenai kegiatan segelintir guru dan saya ingin mengingatkan guru terbabit segera memberhentikan kegiatan itu sebelum mereka dikenakan tindakan tegas," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.