Halaman

Ahad, 15 Jun 2008

Teka-teki parti BN keluar 50% terjawab. Bukan Semenanjung?
Oleh G. MANIMARAN



KUALA LUMPUR: Menjelang 100 hari selepas pilihan raya umum ke-12 minggu ini, Tengku Razaleigh Hamzah pula melontarkan 'kejutan' akan ada sebuah parti komponen akan keluar Barisan Nasional (BN) hujung bulan ini.

Pemerhati-pemerhati politik tidak mengetepikan pandangan bekas Naib Presiden Umno ini yang didedahkan semalam.

Beberapa pemimpin BN yang dihubungi tidak dapat mengesahkan kenyataan itu tetapi tumpuan mengarah ke Sabah dan Sarawak.

"Biasanya maklumat yang diberikan Tengku Razaleigh adalah benar," kata pakar komunikasi media dan pilihan raya, Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Idid.

Sejauh mana kemungkinan itu boleh berlaku? Syed Arabi juga tidak menolak kemungkinan tersebut sambil menambah, jika berlaku ia akan melibatkan parti-parti kecil yang merasakan sudah tiada tempat dan kedudukan dalam BN.

Ini termasuklah parti yang tiada jawatan penting dalam kerajaan tetapi mempunyai beberapa kerusi di Dewan Rakyat, kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi.

Beliau turut mengetengahkan beberapa perkembangan semasa yang menguatkan kemungkinan tersebut.

Laporan Bernama diterima sebentar tadi menyebut, Tengku Razaleigh hari ini sekali lagi mendakwa sebuah parti komponen BN akan keluar meninggalkan BN hujung bulan ini.

Beliau bagaimanapun menyatakan parti itu adalah sebuah parti yang bukan berpusat di Semenanjung.

Ketika dihubungi di Kuala Lumpur, beliau enggan mengenal pasti parti itu.

Semalam, beliau yang kini mencuba untuk mendapatkan sokongan menyaingi jawatan Presiden Umno pada pemilihan Disember ini, mendedahkan akan ada sebuah parti komponen BN meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.

Bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar BN.

Komponen BN terdiri daripada Umno, MCA, MIC, Gerakan, Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) serta Parti Rakyat Sarawak.

Hasil pilihan raya umum ke-12, BN mempunyai 140 kerusi manakala pembangkang di bawah Pakatan Rakyat, ikatan dibentuk selepas 8 Mac, mempunyai 82 kerusi.

Umno mempunyai 79 kerusi, MCA (15), MIC (tiga), Gerakan (dua), PBB (14), SUPP (enam), SPDP (empat), PRS (enam), Upko (tiga), PBS (tiga), SAPP (tiga), PBRS (satu) dan LDP (satu).

Parti komponen yang tidak menang kerusi ialah PPP.

Terdapat beberapa parti kecil tetapi antara yang pernah 'lantang' menyatakan pendirian dalam isu tuntutan Sabah selepas pilihan raya umum lalu ialah SAPP. Mungkin LDP dan Ukpo?

Mengambil kira pertimbangan semasa, persoalan ialah parti komponen yang mana bakal keluar BN? Sama ada parti yang berasal dari Semenanjung, Sabah ataupun Sarawak.

Justeru, Syed Arabi percaya bahawa kemungkinan itu bakal hanya melibatkan parti komponen yang kecil dari Sabah.

Mengenai impak ke atas BN jika benar ada parti komponen keluar BN, beliau memberitahu bahawa ia bergantung kepada jumlah wakil yang dibawa keluar bersama oleh pihak berkenaan.

"Jika jumlah wakil rakyat (anggota Dewan Rakyat) yang keluar kecil, ia OK," katanya.

Pun begitu, jelas beliau, meskipun BN tidak berhadapan dengan sebarang krisis buat masa sekarang tetapi sekurang-kurangnya kenyataan seumpama itu menunjukkan bahawa pakatan parti yang mengetuai kerajaan persekutuan berhadapan dengan "satu krisis."

Semalam, Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat, Datuk Anifah Aman menafikan akan ada Ahli Parlimen BN dari Sabah akan menyerati BN.

Pada Khamis lalu, Agenda Daily melaporkan dua Ahli Parlimen dari SAPP disebut secara terbuka merupakan mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.

Kedua-dua mereka Enchin Majimbun dan Datuk Chua Soon Bui masing-masing Ahli Parlimen Sepanggar dan Tawau juga menafikan khabar angin itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.