HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Jun 2008

Tindakan disiplin nanti 2 YB
Oleh Kamarulzaman Pid


PUTRAJAYA: Dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) berdepan tindakan disiplin jika mereka meneruskan hasrat mengemuka atau menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, berkata setiap ahli dalam parti komponen BN tidak boleh membuat sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan parti itu.

“Kalau dua wakil rakyat itu teruskan tindakan (kemuka usul undi tidak percaya) dalam Parlimen, itu adalah pelanggaran pada disiplin dan tindakan akan dikenakan terhadap mereka.

“Mereka tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak betul (bertentangan), apa saja keputusan yang mereka buat, mereka tak boleh langgar,” katanya pada sidang media mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Kemudahan Infrastruktur di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP semalam yang memberi sokongan kepada pembentangan usul undi tidak percaya kepada kepemimpinan Abdullah di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Pada Rabu, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan SAPP hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan dua anggota Parlimen parti itu Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah pada sidang Dewan Rakyat.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata BN tidak memecat terus SAPP kerana kenyataan Yong lebih bersifat peribadi dan BN juga tidak takut untuk mengambil tindakan berikutan mahu membuat keputusan yang betul dan bukannya mengambil tindakan terhadap pihak yang belum membuat sebarang keputusan.

Najib berkata, Dewan Tertinggi BN mempunyai kuasa penuh untuk menentukan bentuk hukuman yang boleh diambil ke atas kedua-dua ahli Parlimen itu.

Tiada ulasan: