UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Kemerosotan harga komoditi tanaman sawit dan getah sejak beberapa bulan kebelakangan ini akan menyebabkan dividen kepada pelabur Felcra terjejas.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kemelut kewangan yang berlaku di pasaran global menyebabkan harga komoditi mengalami penurunan.
''Ini bermakna kita mesti bersedia bahawa dividen akan datang bakal terjejas kerana pendapatan daripada kelapa sawit dan getah menurun,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra 2008 di Dataran Wisma Felcra di sini hari ini.
Menurut Muhammad, bagi mengatasi masalah itu, pengurusan Felcra perlu lebih jitu dalam meningkatkan hasil tanaman agar kemerosotan yang berlaku tidak menjejaskan pendapatan.
Jelasnya, jika ladang-ladang milik syarikat swasta dapat mengeluarkan hasil yang tinggi, Felcra juga mampu berbuat demikian.
''Saya berharap, Felcra dapat meningkat hasil daripada 17 metrik tan setiap hektar kepada 21 metrik tan sehektar,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, pengurusan yang lebih teratur akan dapat memastikan hasil tanaman ditingkatkan walaupun dengan kos yang masih tinggi.
Katanya, krisis kewangan yang melanda di peringkat global bakal menjejaskan ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam situasi politik yang kurang stabil.
''Kita berkehendakkan politik yang stabil tetapi kalau kita masih bergoncang dan masih tak selesai dari segi isu-isu politik, masalah yang datang dari luar boleh menggugat negara kita,'' tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.