Halaman

Rabu, 15 Oktober 2008

GMUKM gesa siasat salah laku Aspirasi dan bubarkannya

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR -Jawatankuasa Tatatertib Menyiasat Salah Laku Kelab Aspirasi perlu ditubuhkan segera bagi menyelesaikan isu berbangkit tentang penyelewengan dan penindasan yang dilakukan oleh Kelab Aspirasi di Kolej-Kolej Kediaman Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Demikian kenyataan Setiausaha Kerja Pengerusi Gabungan Mahasiswa (GMUKM), Hishamuddin Ali berkaitan tuntutan pemansuhan kelab Aspirasi yang bertapak kukuh di 12 Kolej Kediaman.

Menurutnya, Kelab Aspirasi yang ditubuhkan pada tahun 2002 lalu, jelas terlibat secara aktif dalam dalam Pilihan raya Kampus (PRK) saban tahun dan sentiasa menghantar calon tajaan daripada kumpulan tersebut selain turut serta bertindak sebagai jentera PRK bagi memenangkan calon Aspirasi.

"Budaya penyemaian jenama Aspirasi yang didoktrinkan kepada mahasiswa untuk mengundi mereka dalam Pilihan raya Kampus (PRK) adalah satu budaya yang wajar dimansuhkan.

"Aspirasi, yang di sebalik tabirnya adalah Kelab Aspirasi wajar berdemokrasi secara anak jantan dan jangan gunakan platform rasmi untuk mempengaruhi mahasiswa terutamanya mahasiswa tahun satu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Jelas Hisyamuddin lagi, penubuhan Kelab Aspirasi amat bertentangan dengan Seksyen 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2006) yang melarang mana-mana pertubuhan menyatakan sokongan atau bantahan kepada parti politik.

Hal ini disebabkan sebelum ini Kelab Aspirasi pernah menjemput pimpinan Umno untuk memberi ceramah politik kepartian Umno dan cuba memainkan sentimen perkauman sempit.

"Mahasiswa perlu mempunyai sikap non-partisan dan mengamalkan politik nilai, mereka tidak wajar didoktrin dengan fahaman politik dan biarlah mereka memilih sendiri fahaman mereka tanpa usaha pihak tertentu terutamanya yang bergerak secara rasmi di Universiti yang cuba menjadi kuda tunggangan politik luar.

"Kelab Aspirasi turut terkenal dengan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang PRK seperti memberi kata dua sama ada mengundi calon tajaan mereka, Pro-Aspirasi ataupun dibuang dari kolej dan ini bercanggah dengan Peraturan 64.5 Buku Panduan Calon PRK 2007 yang melarang sesiapa jua daripada membuat paksaan, ugutan dan deraan dalam apa jua bentuk terhadap orang perseorangan,"jelasnya.

Tambahnya lagi, Kelab Aspirasi turut melakukan kesalahan jenayah dengan menerbitkan risalah haram dan menfitnah individu melalui penerbitan risalah haram Al-Bayan yang tidak bercop dan ini juga bersalahan dengan Kaedah 12 Kaedah-Kaedah Tatatertib UKM 1999 yang melarang keras perbuatan yang dilakukan oleh Aspirasi ini.

Katanya, GMUKM amat berharap agar penubuhan Jawatankuasa Tatatertib Menyiasat Salah Laku Kelab Aspirasi perlu disegerakan oleh Pejabat Naib Canselor sebelum PRK dijalankan.

Pada 22 Ogos lalu, satu petisyen menuntut pembubaran Kelab Aspirasi UKM diserahkan kepada Naib Canselor oleh GMUKM untuk mendesak agar Naib Canselor membubarkan kelab Aspirasi termasuk nama lain bagi seperti Kelab Bestari dan Kelab Rakan HEP di seluruh Kolej Kediaman UKM.

Beliau mendakwa Aspirasi melakukan ugutan dan menyebarkan propaganda fitnah, menerbitkan bahan bercetak haram dan mengedarkannya selain menjadi agen menyemai gejala samseng di kampus. - mks._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.