Basiron Abdul Wahab
KUALA LIPIS - Ahli jawatankuasa PAS Pusat Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,pelan peralihan kuasa yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya melibatkan jawatan Presiden Umno tetapi tidak melibatkan jawatan Perdana Menteri.
Menurutnya, ini kerana jawatan itu belum pasti diserahkan dan menjadi jaminan kepada Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak kerana ketika ini kes membabit Raja Petra Kamarudin sedang dibicarakan dan perbicaraan itu akan mendedahkan isu-isu yang disentuh didalam akuan bersumpah Raja Petra yang menyebut Najib terlibat di dalam kes Altantuya Saaribu.
"Jika ini berlaku sudah tentulah perbicaraan itu akan menjejaskan reputasi Najib sebagai calon presiden Umno dengan teruknya,"jelasnya dalam majlis penerangan Kampung Pasar Sasak, dekat sini baru-baru ini.
Tambah Tuan Ibrahim lagi, Abdullah dipaksa meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno walaupun media mengatakan peletakan jawatannya adalah kehendak akar umbi.
"Peletakan jawatan Abdullah bukan desakan akar umbi, peletakan jawatan Abdullah adalah akibat desakan daripada pemimpin Umno yang mempunyai kepentingan,"ujarnya.
Katanya,Abdullah baru sahaja disanjung selepas memimpin Umno dalam pilihan raya 2004 dengan jayanya tetapi kini beliau dihina sebegitu rupa kerana gagal dalam dalam pilihan raya umum 2008.
Malangnya Abdullah akan melepaskan jawatannya kepada Najib yang mempunyai imej tidak bersih.
"Saya membaca biodata bekas-bekas Perdana Menteri sebelumnya didapati imej Najib sangat tercemar berbeza dengan imej Perdana Menteri sebelumnya.
"Tun Razak naik sebagai Perdana Menteri yang baik, begitu juga Tun Mahathir malah Abdullah semuanya menjadi Perdana Menteri dalam keadaan baik, berbeza dengan Najib naik dalam keadaan yang dipertikaikan,"katanya.
Sementara itu, menyentuh isu peralihan kuasa Pakatan Rakyat beliau menjelaskan ia berjalan seperti biasa dan tidak pernah berhenti.
"Bersabar dan berdoalah moga perancangan ini akan berjaya dicapai dalam masa terdekat ini,"ujarnya.
Tambahnya lagi,usaha mengambil negara berjalan dalam suasana jelas dan terang bukan secara sulit supaya ia berlaku dalam suasana aman dan tidak mengejutkan rakyat.
"Jika Pakatan Rakyat mengambil pemerintahan ia tidak akan mengusahkan rakyat, perubahan ini untuk keselesaan rakyat, untuk kemudahan rakyat.
"Perubahan ini bukan mengubah seluruh sistem tetapi ia akan mengubah perkara-perkara yang menyusahkan rakyat, segala penyelewengan dan sebagainya,"katanya. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.