A Kadir Jasin
PADA 13 Mac, 2005 akhbar The Star meletik Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, sebagai mengandaikan dirinya dan Dr Mohamad Khir Toyo sebagai mengalami sindrom “shooting star” dan “tall poppy”.
Ketika itu Dr Mohamad Khir adalah Menteri Besar Selangor dan sedang mengalami tekanan apabila sebuah anak syarikat PKNS didapati bersalah dan didenda kerana melanggar peraturan pembersihan tapak perumahan di Bukit Cahaya, Shah Alam.
Khairy membela Dr Mohamad Khir dan The Star melaporkannya sebagai berkata:
“I am sorry if I seem over-sympathetic but I get the same treatment and I can relate to him.
“It is something similar to the shooting-star syndrome or the tall poppy…..”
Dalam bahasa Melayu ia berbunyi lebih kurang begini:
“Saya minta maaf jika saya nampak terlalu bersimpati dengannya tetapi saya pun mendapat layanan yang serupa dan saya boleh rasakan apa yang dia rasa.
“Ia serupa dengan sindrom shooting star atau tall poppy ….”
Dalam kolum saya, “Other Thots” (Malaysian Business keluaran 1 April 2005), saya berkata tidak ada ungkapan atau istilah shooting star dalam bahasa Melayu.
Dalam bahasa Melayu, fenomena ini dianggap sebagai hantu yang terbang di angkasa pada waktu malam atau tahi bintang.
Tall poppy langsung tidak adalah sebab orang Melayu tidak taman pokok popi yang daripada buahnya diperoleh getah yang diproses menjadi candu atau heroin. Kalau tanam juga, alamat nak tempah maut.
Bila saya merujuk kepada kamus ungkapan Inggeris, rupa-rupa tall poppy bererti “high achiever” atau seorang yang tinggi pencapaiannya.
Menanglah pada waktu Dr Mohamad Khir dan Khairy umpama bintang bergemerlapan. Dr Mohamad Khir baru saja menang dengan undi tertinggi dalam pemilihan ahli biasa Majlis Tertinggi Umno manakala Khairy menang Naib Ketua Umno tanpa bertanding.
Saya tidak salahkan Khairy bila dia guna ungkapan Inggeris yang kita tak faham atau yang tak ada perbandingan dalam bahasa Melayu.
Maklumlah dia pun banyak belajar dan tinggal di luar, dan mengaji di Oxford pula. Tapi nak bagi tahulah sikitlah. Saya pun lulus Cambridge.
Bukan Universiti Cambridge tapi Senior Cambridge (tahun 1966) dan pakai Oxford Geometry Set yang terkenal itu. Itulah Oxford dan Cambridge kita. Tapi, Alhamdulillah, kita ok juga. Bolehlah cari makan.
Semalam (16 Oktober) saya baca dalam Utusan Malaysia Khairy kata dia “underdog” dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda Umno.
Kalau dulu dia kata dia “shooting star” dan “tall poppy”, sekarang dia kata dia “underdog”. Ini pun ungkapan bahasa orang putih juga.
Jadi saya tak marahlah kalau Utusan tidak terjemah jadi “anjing bawah” macam selalu kita tengok dalam sari kata filem.
Utusan memetik Naib Ketua Pemuda dan Ahli Parlimen Rembau itu sebagai menganggap dirinya kini hanya seorang calon underdog atau calon bukan pilihan untuk merebut jawatan itu.
Dalam bahasa Melayu tak ada ungkapan yang serupa dengan “underdog”. Yang ada dan selalu kita dengar adalah anjing gila dan anjing kurap.
Anjing gila ni dalam bahasa Inggeris “rabid dog” iaitu anjing yang bawa penyakit anjing gila atau rabies. Anjing kurap pula dikaitkan dengan orang yang rendah status sosialnya atau orang yang tidak berguna kepada masyarakat.
Inilah politik. Satu masa berada di tempat tinggi sehingga nampak “syurga” dan lupa segala duka nestapa. Pada saat lain pula jatuh berdentum umpama tahi bintang yang tercampak daripada orbit cakerawala dan ditarik graviti bumi.
Siapa menyangka daripada “shooting star” dan “tall poppy” yang begitu dikagumi empat tahun lalu, Khairy kini hanya mampu menarafkan dirinya sebagai “underdog” sahaja.
Atau Khairy berkata begitu untuk menagih simpati agar Pemuda Umno bahagian yang belum bersidang akan memberikannya lebih pencalonan dan undi?
Dia masih muda. Kalau dia mahu belajar, bersabar dan berpijak di bumi nyata, harapannya masih ada. Kita jangan ketawa. Tahi bintang ada harga. Di kampung saya pada “zaman jahiliah” dulu, tahi bintang digunakan untuk menurun nombor ekor atau sebagai campuran minyak pengasih.
Justeru itu, saya tidak akan lakukan apa yang Khairy lakukan. Kalau kita masih ingat, Khairy bersumpah dan berikrar akan menguburkan kerjaya politik Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu.
Anwar tidak terkubur tetapi nasi Khairy jadi bubur. Tetapi lebih baik jadi bubur daripada mentah terus kerana bubur masih boleh dimakan tetapi nasi mentah kalau dimakan boleh buat perut sakit.
(Perut oh perut mengapa engkau sakit? Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah!)
Saya tidak akan bersumpah agar karier politik Khairy terkubur. Sebaliknya saya mendoakan agar dia belajar daripada sejarah supaya dia tahu tanah tinggi dan rendah dan dunia politik tidak selalu indah.
Malah Mukhriz Mahathir yang mendahului pencalonan dan sudah memperoleh kuota bertanding jawatan Ketua Pemuda pun yakin Khairy dan Dr Mohamad Khir akan mendapat pencalonan yang cukup daripada 130 bahagian lagi belum bermesyuarat.
Ketua Perhubungan Kalah Undur Sajalah
Terlanjur bercakap fasal pemilihan Umno, saya harap yang tidak dicalonkan atau yang kalah pada Mac nanti tidaklah terlalu kecewa kerana dalam keadaan tenatnya sekarang, Umno memerlukan khidmat semua orang untuk melakukan CPR (cardiopulmonary resuscitation/pernafasan mulut ke mulut) ke atasnya.
Seelok-eloknya yang sudah tak ada steam atau yang masuk angin keluar asap tu (meminjam daripada Allahyarham P Ramlee) tak payahlah hemoi-hemoi tawar diri.
Orang macam pengerusi perhubungan negeri-negeri yang kalah seperti Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tak payahlah dipilih balik.
Ikutlah jejak Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang akan mengundurkan diri dan tidak bertanding jawatan presiden. Kalau setakat jadi ketua bahagian tu bolehlah kot. Itu pun rasa-rasanya janggal juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.