HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Oktober 2008

Ku Li diajak perkukuh kedudukan Pakatan Rakyat

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Anggota parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disaran berganding dengan Pakatan Rakyat bagi memastikan nasib orang Melayu dan rakyat Malaysia yang terumbang ambing sekarang lebih terbela

Saranan itu dibuat Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub memandangkan peluang Razaleigh bertanding jawatan presiden Umno agak sukar selepas Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi mempertahankan jawatannya.

Beliau menjangka peluang bekas Presiden Semanngat 46 itu agak tipis sekarang kerana Abdullah memberi laluan sepenuhnya kepada timbalannya Dato' Seri Najib Razak menggantinya Mac depan.

"Berdasarkan kepada situasi sekarang Tengku Razaleigh wajar kembali perancangan asal untuk bersama memperkukuhkan Pakatan Rakyat bagi memastikan kehidupan rakyat benar-benar harmoni," katanya ditemui pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka PAS Kelantan di Dataran Stadium, di sini, hari ini.

Lebih 20,000 orang ramai menghadiri rumah terbuka tersebut. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Naib Presiden KeADIlan, Azmin Ali dan wakil-wakil rakyat.

Setiap PAS kawasan menyediakan aneka juadah yang cukup menyelerakan.

Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau yakin Tengku Razaleigh akan memilih bersama kumpulan Pakatan Rakyat, walaupun beliau tidak menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.

"Tengku Razaleigh boleh bersama kumpulan Pakatan Rakyat bagi sama-sama membentuk sebuah negara yang lebih stabil dan kita mengalu-alukan kehadiran beliau," katanya.

Ditanya perancangan Pakatan Rakyat mengambil alih teraju negara, beliau berkata, setakat ini usaha ke arah itu sedang berjalan lancar.

Akhbar hari ini melaporkan Razaleigh menegaskan tidak ada pihak yang boleh mengubah pendirian bagi bertanding jawatan presiden Umno bagi membela nasib orang Melayu. - mj_

Tiada ulasan: