HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Oktober 2008

Pihak tidak bertanggungjawab korek pasir

SINAR HARIAN


JENDERAM HILIR - Gangguan bekalan air yang berlaku di tiga wilayah dekat sini akibat paip utama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pecah adalah disebabkan aktiviti pengorekan pasir oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Seorang penduduk, Mohd Kahar Abd Ghani berkata, aktiviti pengorekan pasir disyaki menjadi punca berlakunya kejadian tanah runtuh seterusnya menyebabkan paip utama itu pecah selain faktor hujan lebat.

“Kira-kira jam 10 pagi, sekumpulan lelaki dipercayai pekerja lombong pasir didapati cuba memasang pengadang yang dibuat menggunakan batang pokok. Namun begitu, akibat air yang deras dan struktur tanah yang sudah tidak kuat, tanah runtuh berlaku sehingga menyebabkan jalan penghubung juga runtuh,” katanya.

Tambahnya, selain memusnahkan paip utama yang menjejaskan bekalan air penduduk, aktiviti ini juga menyebabkan kemusnahan sebahagian tanah mereka yang terletak berhampiran parit dan lombong tersebut.

“Diharapkan tindakan dapat dilakukan segera kepada pelombong pasir tersebut dan pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi,” katanya.

Seorang pekerja ladang, Munirin rahmah, 35, berkata, dia melihat sendiri kejadian tiga batang paip utama tersebut pecah kerana berada di kawasan tersebut kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Pada awal pagi sekitar jam 8 saya ke kebun dan apabila mendapati kawasan kebun dinaiki air, saya mula mencari punca dan meninjau di sekitar kawasan parit. Rupa-rupanya air telah naik disebabkan hujan sepanjang petang kelmarin.

"Namun begitu, saya dapat melihat sendiri sebatang jalan yang menghubungkan kawasan perkampungan dan kebun kelapa sawit di seberang runtuh dan dihanyutkan air deras dan tiga batang paip yang terletak berhampiran kawasan tersebut pecah.

“Saya sangat terkejut melihat kejadian tersebut seperti tsunami kecil apabila air dari tiga batang paip utama memancut lalu segera menghubungi pihak Syabas untuk memaklumkan kejadian berkenaan," katanya.

Sinar Harian dimaklumkan kerja pengorekan bermula lebih setahun lalu dan sebahagian kerja turut melibatkan kawasan yang tidak sah.

Tiada ulasan: