Halaman

Sabtu, 11 Oktober 2008

Pilihan raya kampus: Mahasiswa bantah di Kementerian Pengajian Tinggi

Intan Abdullah


PUTRAJAYA - Lebih 100 mahasiswa berhimpun di pekarangan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyampaikan tuntutan mereka khususnya mengenai Pilihan Raya Kampus (PRK) tidak lama lagi.

Antara fokus utama perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) pada kali ini adalah untuk mendesak KPT mengumumkan segera tarikh PRK secara rasmi.

Dengan laungan 'student power' yang bergema di seluruh parcel E, Putrajaya tersebut cukup untuk menggambarkan amarah dan semangat anak-anak muda di menara gading yang menuntut pilihan raya kampus dijalankan dengan suasana demokrasi yang sebenar.

Hujan yang turun rintik-rintik pada peringkat permulaan perhimpunan tersebut sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka dengan kain rentang dan poster yang berbunyi ' Jangan permainkan kami', 'Kami mahu pilihan raya kampus telus', PRK : Kami demokrasi mahasiswa tidak rela diperbudakkan',

Mereka juga menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung pelaksanaan pengundian secara online menerusi sistem pengundian e-voting dalam PRK akan datang yang dipercayai merupakan taktik untuk mengaburi keputusan PRK sebenar.

"Kami percaya sistem e-voting digunakan untuk menipu mahasiswa kerana mahasiswa tidak dibenarkan untuk melihat pengiraan undi dijalankan sedangkan berdasarkan peraturan pilihan raya, agen tempat pengiraan undi yang dilantik seseorang calon berhak untuk melakukannya," kata wakil Gamis dalam ucapannya.

Mahasiswa juga katanya, meminta agarpihak KPT khususnya pihak yang menguruskan PRK agar memindahkan pusat pembuangan undi daripada kolej kepada fakulti sepertimana yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.

Perubahan pusat pengundian adalah dipercayai berpunca daripada kesukaran mereka untuk mencipta 'ruang' bagi melakukan penipuan terutamanya proses pengiraan yang kelihatan lebih mudah untuk diselia -sekaligus memberikan kebaikan kepada pihak pro mahasiswa.

wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizudin Abireirah pula menyifatkan PRK yang dilaksanakan tidak ubah seperti pemilihan ketua kelas di sekolah dan tadika.

Sementara itu, menurut Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat, Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmud pula mahasiswa di kampus kini memerlukan keadilan dilaksanakan di dalam kampus tanpa perlu mengikut sahaja telunjuk pihak pentadbiran universiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.