MY METRO
KUANTAN: Sepuluh pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini, yang menjadi mangsa gangguan histeria, dua bulan lalu akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan sebagai langkah berjaga-jaga.
Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata pelajar berkenaan akan menduduki peperiksaan itu di PPD Kuantan selama lima hari mulai Isnin ini bagi mengelak gangguan berulang sekali gus menjejaskan tumpuan mereka menjawab soalan.
“Kami terpaksa mengasingkan pelajar berkenaan dengan menempatkan mereka di luar kawasan sekolah kerana tidak mahu tumpuan mereka terganggu jika terus diserang gangguan itu ketika sedang menduduki peperiksaan penting berkenaan.
“Walaupun mereka diasingkan daripada 159 rakan lain, tetapi mereka tetap mengikuti prosedur peperiksaan seperti calon lain,” katanya di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan bilangan calon PMR dan pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Menurutnya, tiada gangguan histeria dilaporkan berulang di sekolah itu sejak tiga minggu lalu, tetapi pihak sekolah tetap diarah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada pelajar menghadapi tekanan.
Katanya, seramai 27,083 calon bakal menduduki peperiksaan itu di 223 pusat peperiksaan seluruh negeri dengan diawasi 1,320 pengawas peperiksaan.
Kuantan mencatat bilangan calon tertinggi seramai 7,938 orang, diikuti Temerloh (3,389 calon) dan Pekan (2,441 calon).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.