Oleh Efindi Badarudin
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta peniaga menurunkan segera harga barangan tanpa perlu menunggu pihak berkuasa bertindak selepas kerajaan sudah tiga kali menurunkan harga runcit petrol dan diesel bertujuan meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar itu.
Perdana Menteri berkata, peniaga perlu menjalankan tanggungjawab sosial mereka bagi meringankan beban rakyat dengan menurunkan segera harga barang.
Menurutnya, kerajaan sudah beberapa kali menurunkan harga petroleum dan peniaga pula perlu melakukan tanggunjawab sosial mereka dengan mengurangkan harga barang.
“Mereka perlu lakukan tanggungjawab ini secara sukarela tanpa perlu menunggu kerajaan untuk bertindak baru nak diturunkan harga,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Semangat Merdeka 2008 dan sambutan Aidilfitri di Akademi Kenegaraan, di sini,
Ketika ditanya mengenai desakan orang ramai termasuk persatuan pengguna yang mahukan peniaga menurunkan harga barang, Perdana Menteri berkata, pengguna dan persatuan perlu mengggunakan hak serta kuasa membeli mereka dengan memberi tekanan kepada peniaga.
“Peniaga boleh turunkan harga barangan dan ini juga mampu memaksimumkan nilai ringgit yang dibelanjakan,” katanya.
Abdullah berkata, rakyat juga diingatkan jangan meletakkan sepenuhnya tanggungjawab menurunkan harga barang kepada kerajaan dan mereka sendiri mempunyai hak dan peranan untuk bertindak bagi menurunkan harga barang.
Beliau berkata, kuasa pengguna adalah kuat dan sekiranya peniaga meletakkan harga barang terlalu tinggi serta tidak munasabah, orang ramai tidak akan membeli dan peniaga juga gagal menjual barang mereka.
“Kalau nak kerajaan awasi supaya harga barang tidak naik, maka pengguna mesti berperanan untuk mendesak dan bertindak supaya perkara ini dapat difahami semua, apa yang saya cakap ini wajar bukan ada sebab-sebab lain,” katanya.
Ditanya adakah kerajaan mencadangkan pengguna memboikot peniaga yang mengenakan harga tinggi, Abdullah berkata, kerajaan tidak boleh mengajar rakyat berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan