HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Oktober 2008

Turunkan harga barang – PM

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Para peniaga perlu menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak yang telah berlaku sebanyak tiga kali pada tahun ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, para peniaga sepatutnya mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang secara sukarela tanpa perlu menunggu kerajaan bertindak.

''Apa yang saya cakap ini (penurunan harga barang) adalah wajar. Bukan ada sebab lain. Sudah turun berapa banyak, berapa kali (harga minyak) takkan tak boleh turun sikit secara sukarela, tak payah tunggu kerajaan bertindak.

''Peniaga sepatutnya ada tanggungjawab sosial. Ini perasaan yang perlu ada pada diri mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Biro Tata Negara (BTN) di Akademi Kenegaraan di sini hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas mengenai rungutan pelbagai pihak berhubung harga barang yang masih tidak diturunkan sedangkan ketika ia dinaikkan dahulu, alasan yang diberi peniaga adalah kerana berlaku kenaikan harga minyak.

Berkuat kuasa hari ini, harga petrol diturunkan 15 sen seliter manakala diesel pula diturunkan 20 sen yang menjadikan penurunan kali ini adalah kali ketiga selepas ia dinaikkan kali terakhir pada 5 Jun lalu.

Sementara itu, Abdullah turut melahirkan rasa kesal dengan sikap persatuan-persatuan pengguna yang hanya mengharapkan kerajaan untuk memastikan para peniaga menurunkan harga barang.

''Mereka ada peranan kerana kuasa pengguna adalah amat kuat. Kalau tak beli berikutan harga yang tak munasabah maka pekedai tak akan dapat jual.

''Tapi ada juga yang beli. Maka bermakna para pekedai tak ada masalah dan mereka tidak akan buat apa-apa untuk turunkan harga barang. Ini tidak patut berlaku,'' jelasnya.

Ditanya adakah kerajaan mencadangkan supaya pengguna memboikot peniaga yang meletakkan harga yang tinggi bagi barang keperluan, Abdullah berkata, perkara itu terserah kepada pengguna sendiri.

''Saya tak boleh ajar orang memboikot tetapi ini adalah perkara yang persatuan pengguna perlu memahami apa yang perlu dilakukan. Bila harga barang dah tinggi kita tak belilah.

''Untuk itu saya dah minta Datuk Shahrir Samad (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) supaya mengaturkan pertemuan dengan kesemua persatuan pengguna bagi kita berbincang mengenai hal ini,'' katanya.

Ketika disoal tentang penjelasan peniaga bahawa mereka sukar untuk menurunkan harga barang kerana penurunan harga minyak dibuat secara berperingkat, Abdullah berkata, para peniaga tidak boleh menjadikan itu sebagai alasan.

Katanya, para peniaga harus tahu bagaimana hendak melakukan penyesuaian dan bukannya mengharapkan semua perkara datang dengan mudah kepada mereka setiap masa.

''Mana boleh, mereka kena tahulah. Negara lain ada yang menyelaraskan harga minyak setiap minggu, setiap hari pun ada. Kalau semua nak mudah sahaja, susahlah,'' ujarnya.

Ditanya apakah ini bermakna kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual barang pada harga yang mahal, Perdana Menteri berkata, tindakan tetap akan diambil.

Tiada ulasan: