Halaman

Isnin, 13 Oktober 2008

Wartawan dakwa ditipu Ketua Pemuda Umno Pasir Mas

Lanjusoh


KOTA BHARU - Jika kerbau dipegang talinya, maka manusia dipegang pada janjinya. Mungkin inilah nasib malang menimpa seorang wartawan apabila mendakwa ditipu seorang pemimpin Umno Pasir Mas.

Penyunting Sinar Harian, Manzaidi Mohd Amin, 45 yang kini berugas di Shah Alam mendakwa dianiayai calon jawatan Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Ahmad Rosdi Mahmad berhubung penjualan sebuah rumah di Lubuk Jong, Pasir Mas.

Katanya, pada pertengahan 1999 beliau menjual rumah itu kepada Ahmad Rosdi dan dia bersetuju meneruskan bayaran ansurannya untuk tempoh 13 tahun setengah.

Beliau membeli rumah kos sederhana tersebut dengan harga RM32,000 dan kadar bayaran ansuran bulanan RM301.13.

Menurutnya beliau menjual rumah tersebut kerana tidak mampu meneruskan bayaran ansuran ketika itu disebabkan kegawatan ekonomi.

"Saya mahu menukar nama milik rumah itu, tetapi Ahmad Rosdi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pasir Mas tidak mahu. Sebaliknya dia mahu saya mempercayainya dan berjanji secara lisan akan terus membayar ansuran rumah sehingga tamat tempoh pinjaman.

"Kerana mempercayainya saya setuju proses tukar nama ditangguhkan kepada tarikh yang tidak ditetapkan. Urusan jual-beli dibuat di pejabat Ahmad Rosdi di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu," katanya di sini.

Bagaimanapun tambah beliau pada akhir 2005 ketika mengemukakan permohonan pinjaman membeli sebuah kenderaan di Bank Bumiputera Commerce permohonannya ditolak.

Tidak lama kemudian katanya beliau kemukakan pula permohonan pinjaman di Bank Muamalat juga ditolak dengan alasan namanya disenaraihitam Bank Negara Malaysia (BNM) kerana tidak membayar ansuran rumah.

"Saya terkejut dan menghubungi Ahmad Rosdi. Dia kemudian memaklumkan akan memberitahu hal itu kepada adiknya bagi diselesaikan memandangkan rumah tersebut telah diberi kepadanya.

"Pada Ogos lalu saya menerima surat saman daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas meminta hadir ke pejabat itu untuk siasatan gadaian pada 10 September 2008.

"Dan surat saman juga diterima daripada peguam RHB Islamic Bank Berhad yang meminta saya hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 15 September 2008," katanya.

Ekoran itu Manzaidi berkata, beliau memaklumkan kepada adik Ahmad Rasdi, Jafri supaya menyelesaikan jumlah tunggakan RM12,849.18 sebelum 5 September 2008 bagi mengelaknya dikenakan sebarang tindakan oleh pihak terbabit.

Namun katanya sehingga 5 September lalu Jafri belum menjelaskan tunggakan itu menyebabkan beliau berdepan dengan saman dan siasatan.

Oleh itu kata beliau disebabkan kedegilan Jafri dan Ahmad Rosdi beliau membuat keputusan menyerahkan rumah itu untuk dilelong pada 11 Januari 2009 pada harga RM20,000.

Jumlah keseluruhan hutang yang terpaksa ditanggungnya sebanyak RM38,754.96 tidak termasuk kos mahkamah.

"Saya sedih telah dianiaya dan ditipu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pasir Mas yang kini giat berkempen untuk bertanding jawatan timbalan ketua Umno bahagian itu," katanya. - mj/mks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.