UTUSAN ONLINE
SLIM RIVER - Pemimpin politik yang menggunakan ejen atau orang tengah sebagai pelobi dalam kempen bagi menghadapi pemilihan UMNO Mac depan boleh menyebabkan politik wang berleluasa dalam parti itu.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, gejala itu jika tidak dibanteras akan mewujudkan sesuatu yang tidak sihat dalam parti.
''Pasukan pemantau yang dilantik Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu mengawasi ejen atau pun orang tengah ini bagi memastikan tidak berlaku gejala rasuah," katanya pada majlis penutup program 4 x 4 Women Recreation dan Outdoor Challenge 2008 anjuran Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia di Kampung Orang Asli, Pos Keding dekat sini hari ini.
Kelmarin, MT UMNO memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO yang berada di hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau dan dikenakan tindakan.
Sehubungan itu, Azalina berkata, setiap calon yang dipilih untuk bertanding jawatan dalam parti perlu berdasarkan pada kebolehan mereka untuk bekerja.
Ditanya mengenai peluangnya untuk menang jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan Mac ini, Azalina berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat pilihan.
Katanya, pencalonan yang diterima itu menunjukkan akar umbi mahukan perubahan dalam parti.
''Saya terima pencalonan itu dan kalau tidak cukup pencalonan saya akur dan akan terus bekerjasama dalam parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.