UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA - Kerajaan menjangkakan beberapa kawasan rendah di seluruh negara akan dilanda banjir yang bermula pada pertengahan bulan ini hingga Mac tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kajian dan gambar satelit yang diambil oleh Jabatan Meteorologi merekodkan taburan hujan bagi Disember dan Januari akan melebihi paras biasa.
Serentak itu, kata beliau, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit telah diarah bersiap sedia untuk menghadapi musim banjir kali ini.
''Kita tidak boleh mengelak kemungkinan berlaku banjir pada waktu itu.
''Notis awalan ini dikeluarkan supaya kawasan-kawasan yang biasa dilanda banjir sebelum ini lebih bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat (JPBBP) di sini hari ini.
Dalam hubungan ini, Najib memberitahu, kerajaan telah mewujudkan lebih 4,595 pusat pemindahan mangsa banjir, 1,775 buah bot penyelamat dan 20 buah helikopter sebagai pengangkutan udara.
Selain itu, kata beliau, kerajaan turut menyediakan 450 buah pangkalan hadapan, 1,182 pasukan Kesihatan dan Perubatan serta 13 unit Jambatan Bailey.
''Kesemua aset itu perlu ditempatkan di kawasan yang akan dilanda banjir kerana jika banjir berlaku, ia akan menyebabkan keadaan seperti terputus hubungan dan sebagainya.
''Kerajaan juga akan memperkemaskan lagi cara-cara kita menyampaikan maklumat terkini mengenai banjir melalui televisyen, radio dan laman web," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) telah diminta meneruskan kerja-kerja mengali dan mendalamkan sungai-sungai utama.
''Kalau kita terus menggali sungai, air akan mengalir dengan lebih pantas dan dengan itu kita dapat mengelakkan air itu melimpah," katanya.
Ditanya mengenai peruntukan untuk menghadapi banjir, Najib berkata, kerajaan tidak menetapkan jumlahnya kerana ia akan dikeluarkan mengikut kaedah yang telah dipersetujui sebelum ini.
Tahun lalu kerajaan mengeluarkan peruntukan banjir sebanyak RM61 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.