MSTAR ONLINE
KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam tindakan menahan seseorang mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Katanya, sikap berhati-hati ketika membuat keputusan menahan mereka diamalkan oleh kerajaan sejak dahulu lagi dan bukannya baru dibuat sekarang.
"Keputusan menahan mereka di bawah ISA mesti ada sebab-sebabnya dan bukan diambil tanpa sebarang fakta yang membolehkan tindakan itu dilaksanakan.
"Ini bukan kuasa yang boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya, ia mesti ada sebab dan fakta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, di sini.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan ISA Jumaat lalu.
Abdullah berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah tetapi akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Dalam Negeri.
GESAAN GERAKAN, DAP
Dalam pada itu, DAP dan Gerakan Pulau Pinang meminta kerajaan mengkaji semula pendiriannya untuk memfailkan rayuan berhubung pembebasan Raja Petra.
Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, keputusan mahkamah minggu lalu menunjukkan sistem kehakiman negara adalah telus.
"Kami berharap kerajaan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Raja Petra dan beliau bukan merupakan satu ugutan kepada negara," katanya di George Town.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Kabinet seharusnya membatalkan hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk mengemukakan rayuan.
"Perdana Menteri perlu menghalang Syed Hamid daripada mengemukakan rayuan," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di ibu negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan