HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Disember 2008

Anak menteri diarah fail pengesahan lafaz cerai taklik

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam memerintahkan Dino, anak Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Rais Yatim memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada isterinya, Riza Ainurin Ramlan.

Berikutan itu, perbicaraan bagi permohonan fasakh Riza Ainurin, 24, selaku plaintif yang ditetapkan semalam terpaksa ditangguhkan.

“Selesaikan satu persatu dahulu. Kamu dakwa telah menghantar SMS kepada plaintif. Jadi kini, kamu selaku defendan (Dino), mahkamah arahkan memfailkan satu permohonan bagi pengesahan lafaz cerai secara taklik tersebut,” arah Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin.

Dino, 30, yang hadir tanpa diwakili sesiapa itu, mendakwa telah menghantar SMS kepada isterinya, yang membawa maksud kepada penceraian secara taklik, bagaimanapun, defendan gagal menyatakan tarikh sebenar bilakah SMS itu dihantar kepada plaintif.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bagi kes pengesahan lafaz cerai secara taklik itu pada 14 Januari depan.

Terdahulu, mahkamah menetapkan semalam sebagai perbicaraan fasakh Riza Ainurin.

Tarikh berkenaan ditetapkan pada tarikh sebutan lepas setelah peguam syarie Roslizam Rahim, yang mewakili Riza Ainurin, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya berjaya menghantar surat saman kepada Dino pada 7 September lalu di rumahnya.

Riza Ainurin, memfailkan permohonan fasakh pada 15 Ogos lalu.

Tiada ulasan: