BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang berusaha mengesan projek pembangunan yang dijalankan di kawasan bercerun melebihi 35 darjah di sekitar Kuala Lumpur bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Sekiranya DBKL kesan ada pembangunan di kawasan bercerun, maka kami akan meminta Datuk Bandar untuk mengarahkan pemaju menghentikan projek itu serta merta,” kata Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusup kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Rakan Taman DBKL 2008 di sini hari ini.
Sehingga kini, katanya, tiga projek pembangunan kawasan cerun di sekitar KL dikenal pasti berisiko iaitu pembangunan 21 unit banglo di Medan Damansara, pembangunan satu blok pangsapuri di Bukit Ceylon dan pembangunan skim banglo di Bukit Gasing.
Kementerian Wilayah Persekutuan semalam memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan di kawasan bercerun melebihi 35 darjah dan membekukan pembangunan di kawasan bercerun 26 darjah hingga 35 darjah sehingga suatu perancangan, reka bentuk dan sistem kawalan yang sempurna dapat diwujudkan serta dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Ketiga-tiga projek itu diluluskan sebelum ini kerana didapati mematuhi Garis Panduan Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi dan Garis Panduan Pembangunan Kawasan Bukit 1994, manakala langkah untuk membekukan projek tersebut adalah untuk mengelak insiden kejadian tanah runtuh, seperti yang berlaku baru-baru ini di Bukit Antarabangsa dan di Jalan Semantan, Kuala Lumpur.
Mengenai pelantikan Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ahmad Fuad Ismail sebagai Datuk Bandar KL yang baru, Salleh berkata seluruh warga DBKL akan memberi sokongan penuh kepada Ahmad Fuad dan akan menerima segala perubahan yang dibawanya demi kebaikan rakyat.
“Semua pemimpin ada cara pentadbiran mereka yang tersendiri, Datuk Bandar barupun mungkin ada cara kepimpinannya yang tersendiri bagi membawa perubahan dan kebaikan kepada rakyat. Jadi kami warga DBKL akan memberi sokongan yang penuh kepada beliau demi kebaikan rakyat,” katanya.
Mengenai program Rakan Taman DBKL pula, Salleh berkata ahli yang berdaftar di bawah program berkenaan akan menikmati pelbagai manfaat ketika melawat taman awam di sekitar KL.
“Kita ada 12 taman awam yang berskala lebih 20 hektar di KL, ahli-ahli rakan boleh menikmati pelbagai faedah seperti mendapat diskaun di taman-taman yang mengenakan bayaran seperti taman rama-rama di Tasik Perdana dan sebagainya.
“Antaranya taman Tasik Perdana, taman Tasik Titiwangsa, taman Tasik Permaisuri, taman Antarabangsa Bukit Jalil, taman Manjalara, taman Metropolitan Kepong, taman Metropolitan Batu dan taman Tasik Pudu Ulu,” kata beliau.
Beliau berkata DBKL mensasarkan 10 peratus daripada 1.7 juta penduduk KL berdaftar sebagai ahli dalam masa lima tahun akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.