Halaman

Rabu, 17 Disember 2008

Ibu, anak didakwa edar dadah dalam peti simpanan bank

Oleh ROKIAH ABDULLAH


PULAU PINANG - Seorang ibu dan anak perempuannya yang dikatakan mengandung dua bulan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mengedar 882 gram heroin yang disimpan di dalam peti simpanan sebuah bank di sini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Lim Ah Mooi, 50 dan Hwei Wen Chui, 27, masing-masing suri rumah ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Fadzila Isham.

Mengikut pertuduhan, dua anak-beranak itu didakwa telah mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 11.20 pagi, 5 Disember lalu di No. 44, RHB Bank Berhad, Lebuh Pantai di sini.

Pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afidah Mohd. Sarayany dibuat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, sebelum prosiding mahkamah bermula, Wen Chui dilihat memalingkan muka dalam keadaan sedih apabila anak lelakinya yang berusia setahun cuba memeluknya.

Ibu muda itu yang digari tangan bersama ibunya kemudiannya meminta ahli keluarga mengambil anaknya itu daripadanya.

Sementara itu, peguam Jagdeep Singh Deo yang mewakili Wen Chui meminta anak guamnya mahkamah membenarkan diikat jamin.

Menurut peguam bela, walaupun undang-undang memperuntukkan tertuduh dalam kes mengedar dadah tidak boleh diikat jamin, namun majistret mempunyai kuasa budi bicara untuk membenarkan jaminan jika tertuduh layak.

''Dalam kes ini, tertuduh sedang mengandung dua bulan. Pada peringkat awal kehamilan ini, saya merasakan tidak wajar dia ditahan reman dipenjara.

''Saya memohon dia dibenarkan untuk dibebaskan dengan ikat jamin bagi membolehkan dia melalui proses kehamilan ini dengan lebih baik. Lagipun anak tertuduh yang sulung masih kecil dan memerlukan kasih sayang serta jagaan daripadanya." kata Jagdeep.

Nor Afidah pula bangun sambil memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan perubatan mengatakan mangsa sedang mengandung.

Selepas mendengar kedua-dua hujahan, Nor Fadzila memutuskan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan bebas dengan ikat jamin.

Beliau menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan semula kes itu.

Menurut laporan akhbar, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peti simpanan sebuah institusi kewangan dengan tertangkapnya seorang wanita dan penemuan dadah heroin seberat 882 gram bernilai RM50,000 di sini pada 5 Disember lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, dalam dua rampasan berasingan itu, pihaknya turut menemui barang kemas dan wang tunai berjumlah RM166,000 serta sepucuk pistol dalam dua peti yang digunakan suspek untuk menyimpan barang-barangnya di institusi kewangan sama.

Menurut beliau, rampasan itu dibuat hasil maklumat yang diperoleh daripada suspek berusia 20-an yang ditangkap bagi membantu siasatan berhubung satu kes dadah lain di Sungai Nibong di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.