Halaman

Jumaat, 19 Disember 2008

Isu babi: Pewaris adakan bantahan aman esok

Muda Mohd Noor


Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) akan mengadakan bantahan secara aman esok terhadap perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab menggantung kepala babi di atas kain rentangnya, kelmarin.

Kain rentang itu digantung pada pagar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak mengenai jemputan ke majlis perjumpaan bagi membincangkan isu-isu Melayu, termasuk mengenai ternakan babi, anjuran badan itu esok.

Penduduk dilaporkan menemui bangkai kepala babi hutan digantung pada kain rentang tersebut, berhampiran bulatan Tanjung Bidara-Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Jurucakap Pewaris yang enggan dikenali memberitahu Malaysiakini hari ini, bantahan akan diadakan kira-kira jam 11 pagi di sebuah dewan di Hotel Samudera Riverside, Masjid Tanah - tempat berlangsungnya majlis perjumpaan tersebut.

Pewaris juga, katanya, akan menyerahkan memorandum kepada ketua Umno bahagian Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi menghapuskan ternakan babi di kawasan Paya Mengkuang.

Abu Seman juga merupakan timbalan menteri pertahanan.

"Ternakan babi di sini telah menimbulkan banyak masalah kepada orang Melayu di kawasan sekitar," kata jurucakap NGO itu.

Penggantungan kepala babi kelmarin merupakan insiden ketiga.

Pada 18 Oktober lalu, peniaga dan pengunjung menemui bangkai kepala babi di tepian Pantai Pengkalan Balak.

Pada 13 November lalu, kepala babi dilaporkan digantung di atas pintu pagar rumah seorang ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Masjid Tanah, Md Rawi Mahmud.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mazlan Mansor kelmarin dilaporkan memberi amaran kepada mereka yang terbabit menggantung kepala babi di kain rentang Pewaris itu.

Sebuah skuad khas juga telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden berkenaan dan sehingga ini belum ada tangkapan dibuat, tambahnya.

Sementara itu, seorang AJK Umno bahagian Masjid Tanah, Jamiluddin Junit berkata, perbuatan seumpama itu tidak boleh dipandang mudah.

"Tetapi kita perlu bertindak bijak menanganinya kerana tidak mahu ia menjadi isu perkauman.

"Kita tidak tahu pihak mana yang melakukan perbuatan itu... persatuan penternak babi menafikan mereka terbabit.

"Berilah peluang pasukan polis menjalankan siasatan...," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.