HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Disember 2008

Jemaah puas hati khidmat Tabung Haji

UTUSAN ONLINE


SEPANG - Jemaah Haji Malaysia yang selamat pulang ke tanah air hari ini menyifatkan perkhidmatan Lembaga Tabung Haji adalah yang terbaik dalam menguruskan para jemaah di sana.

Rata-rata jemaah yang ditemui berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh petugas Tabung Haji sehingga memberi kemudahan kepada mereka mengerjakan haji tanpa sebarang masalah.

Seorang jemaah yang berasal dari Taiping, Perak Abidin Ismail, 61, berasa selesa mengerjakan haji walaupun baru kali pertama menjejakkan kaki ke tanah suci.

''Pada mulanya saya berdebar untuk ke sana memandangkan ini kali pertama saya berpeluang mengerjakan haji, namun semua perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Haji memudahkan saya menunaikan ibadah.

''Saya amat berterima kasih kepada semua petugas atas layanan mereka terutama dalam menguruskan keperluan jemaah haji di sana," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Abidin adalah antara 355 jemaah haji Malaysia pertama yang selamat tiba di tanah air melalui penerbangan MH8201 pada pukul 12.25 tengah hari ini setelah terkandas lebih lima jam disebabkan kesesakan teruk di Lapangan Terbang Jeddah, Arab saudi.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang lagi jemaah, Ramlah Kadir, 63, berkata, keadaan kesihatan yang tidak baik memaksanya berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Namun, katanya, layanan dan perkhidmatan yang diberikan oleh petugas Tabung Haji memudahkan beliau mengerjakan rukun Islam kelima itu walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda.

''Makcik sangat berpuas hati dengan layanan Tabung Haji terutama kepada mereka yang sakit di sana.

''Hospital dan klinik yang disediakan di sana sangat memuaskan dalam memastikan semua jemaah dapat mengerjakan haji dengan sempurna," katanya.

Turut memberikan pendapat sama ialah Halimah Mat Shah, 80, yang memberitahu, perkhidmatan Tabung Haji berbeza dengan negara lain dari segi kemudahan penginapan, kesihatan dan beberapa perkhidmatan lain.

''Saya sudah kali ketiga mengerjakan haji melalui Lembaga Tabung Haji dan saya lihat perkhidmatan Tabung Haji makin baik dari tahun sebelumnya.

''Saya harap perkhidmatan Tabung Haji akan terus baik dan menjadi organisasi terbaik di dunia dalam mengendalikan jemaah haji," katanya yang berkerusi roda sambil dibantu oleh empat orang anaknya yang turut mengerjakan haji bersamanya.

Tiada ulasan: