Dr. Mahathir turut membantah syor cadangan pengambilalihan
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
[DIKEMAS KINI, 6.30 PETANG]
KUALA LUMPUR: Kabinet menangguhkan keputusan berhubung cadangan Sime Darby untuk mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sementara menunggu perbincangan lanjut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengesahkan perkara tersebut pada sidang media sebentar tadi.
Kata beliau, kerajaan hanya bersetuju pada dasarnya tertakluk pada syarat bahawa tanggungjawab sosial IJN tidak akan dipinggir atau dikurangkan sama sekali.
"Selain itu, sekiranya IJN diserahkan kepada Sime Darby, ia bereti bahawa sumbangan kerajaan untuk pembedahan akan terus dilakukan.
"Ini bermakna tanggungjawab sosialnya akan disumbangkan dan ia tidak diabaikan atau dikorbankan sama sekali," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan penangguhan itu diambil demi kepentingan rakyat sementara menunggu perbincangan susulan yang mendalam.
IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., milik penuh Kementerian Kewangan.
Malah, kata beliau, keputusan itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.
Tambah beliau, kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan.
Bagaimanapun, Najib berkata, faktor masa tidak penting.
"Apa yang penting ialah keputuan itu akan menguntungkan rakyat dan akan menjadikan IJN pusat jantung bertaraf dunia," katanya.
Cadangan pengambilalihan itu mendapat reaksi bercampur aduk dengan banyak pihak berpendapat ia tidak wajar diswastakan.
Turut memberikan pandangan hari ini ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang telah dua kali menjalani pembedahan pintasan koronari jantung sebanyak dua kali, berpendapat IJN wajar kekal seperti sekarang.
"Saya jarang menentang penswastaan tetapi dalam hal ini, saya merasakan penswastaan adalah salah untuk dilaksanakan," kata beliau dalam blognya hari ini.
"Biarkan institusi ini sebagimana sekarang. Ia ada kebanggaan kita dan ia melakukan kerja yang baik," tambah beliau.
Oleh kerana Barisan Nasional (BN) sudah tidak popular sekarang, tambah beliau, mengapa harus memberikan satu lagi isu kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan pusat.
Sementara itu, doktor-doktor IJN berkata, pihaknya gembira untuk berkhidmat dengan institut berkenaan dalam keadaan semasa dan tidak mahu dijadikan 'kambing hitam' dalam cadangan penswastaan pusat perubatan berkenaan.
Dalam kenyataan yang ditandatangani 33 daripada 35 pakar runding perubatan yang berkhidmat di IJN, mereka menegaskan, syor penswastaan tersebut bukan merupakan respons kepada tuntutan mereka untuk mendapatkan skim gaji yang lebih baik.
Doktor-doktor berkenaan menambah, kakitangan perubatan tidak terlibat dalam perundingan pengambilalihan IJN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan