Halaman

Ahad, 14 Disember 2008

KDN runding JPA

Oleh SAIPUL ADLI MOHAMAD


JOHOR BAHRU: Walaupun dihalang Perintah Am, Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membolehkan bekas penagih dadah yang sudah insaf diambil bekerja dengan kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata kerajaan perlu menunjukkan contoh baik dengan mengambil bekas penagih untuk berkhidmat sebagai kakitangan awam kerana sebahagian daripada mereka memiliki taraf pendidikan tinggi, termasuk di peringkat sarjana.

Menurutnya, langkah berkenaan dianggap wajar untuk membantu pemulihan bekas penagih supaya mereka kembali diterima di dalam masyarakat dan dapat berkhidmat dengan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu menunjukkan contoh baik dengan mengambil bekas penagih terbabit untuk berkhidmat sebagai kakitangan awam kerana sebahagian daripada mereka memiliki taraf pendidikan tinggi, termasuk memiliki sarjana.

“Setakat ini kita mendapat kerjasama baik daripada sektor swasta yang bersedia menggunakan khidmat bekas penagih sebagai pekerja mereka.

“Ketika ini perbincangan masih pada peringkat awal kerana ia dihalang Perintah Am, yang melarang mereka yang mempunyai rekod jenayah diambil berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan... tetapi terpulang kepada JPA untuk menerima syor berkenaan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Memperkasa Komuniti Pemulihan dan Pusat Khidmat AADK Desa Damai di Jalan Taruka, Larkin, di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin; Ketua Pengarah AADK Kebangsaan, Datuk Abd Bakir Zin; Setiausaha Bahagian Kepenjaraan Antidadah dan Pertahanan Awam KDN, Abdul Aziz Md Nor dan Pengarah AADK Johor, K Sukumaran.

Pada majlis berkenaan, seramai 18 bekas penagih yang aktif dalam kegiatan AADK menerima Anugerah Kepulihan Cemerlang 2008, manakala seramai 12 bekas penagih menerima replika cek pinjaman Tekun bernilai antara RM5,000 dan RM30,000.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, Pusat Khidmat AADK Desa Damai membabitkan kawasan seluas 1.6 hektar dibuka pada tahun lalu dan ia projek perintis diperkenalkan AADK untuk memantapkan kaedah pemulihan dalam komuniti ke atas bekas penagih dan penagih dalam pengawasan polis.

Beliau berkata, peserta Desa Damai akan dilatih menjalani pemulihan lanjutan dalam komuniti dengan menjalankan pelbagai bidang aktiviti ekonomi dan keusahawanan seperti ternakan ikan keli, ayam kampung, burung puyuh, itik, tanaman cendawan, cili, sayur, membaiki kenderaan, kraftangan dan kedai runcit.

Katanya, AADK merancang melaksanakan satu konsep penempatan sama di atas tanah seluas 24 hektar di kawasan yang diluluskan untuk membina Pusat Serenti yang baru di Kota Tinggi, awal tahun depan.

“Saya berharap projek seperti ini mampu menarik minat masyarakat untuk tidak menyisihkan bekas penagih serta menarik pembabitan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya berharap konsep diguna pakai oleh Pusat Khidmat AADK Desa Damai dalam melatih kes pengawasan untuk menjalani hidup berdikari ini dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk mencapai matlamat Malaysia Bebas Dadah Tahun 2015,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.