SIASAH DAILY
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu akan tetap berkerja keras memastikan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu walaupun beliau tidak terpilih sebagai calon.
Mohammad yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu bagi kawasan Parlimen tersebut berkata, beliau akan tetap memberi sokongan kepada siapa sahaja calon yang dipilih parti itu untuk bertanding pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.
"Saya akan tetap sokong siapa jua calon yang dipilih oleh parti," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani yang mahukan bakal calon PAS terdiri daripada anak tempatan.
Menurut Mohamad Sabu, siapa pun yang menjadi calon tidak penting kerana semuanya tertakluk kepada keputusan PAS Pusat.
"Saya akan terima apa jua keputusan parti," katanya.
Dalam kenyataannya baru-baru ini, Azman menyatakan pihaknya menolak cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil tersebut.
''Saya menganggap kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon adalah keputusan peribadi tetapi keputusan kita adalah keputusan bersama," katanya
Azman mahu PAS mengetengahkan anak tempatan yang berwibawa dan memberi mereka peluang kerana "mereka ini akan jadi pelapis bagi menggantikan pemimpin peringkat negeri yang ada sekarang".
''Terengganu tidak ketandusan pemimpin terutama golongan muda dan jika orang luar dicalonkan apa jadi dengan anak tempatan sendiri," katanya.
Mursyidul Am pula secara peribadi masih berhasrat untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu.
"Kalau boleh saya nak begitu, (kekal calon) sebab di Parlimen ni kena ada orang sepeti Mat Sabu (Mohamad) kerana lidah dia lantang, isu yang ditonjolkannya juga bukan dibuat-buat, tetapi realiti.
"Saya sudah lama menjadi penceramah dan sekarang pun saya masih berceramah, tetapi lidah saya tidak sehebat Mat Sabu,"ujarnya.
Tambahnya, itu berlaku kerana setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing,
"Saya ada cara saya, tetapi kalau di Parlimen ni baik Mat Sabu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.