Halaman

Khamis, 11 Disember 2008

Pembangkang kecewa isu tanah runtuh dibahas terlalu singkat

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Ong Ka Chuan tidak menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen dalam perbahasan usul berkaitan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa, di Dewan Rakyat semalam.

Pertanyaan yang dikemukakan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (KeADILan-Bandar Tun Razak) dan Azmin Ali (KeADILan-Gombak) sama ada betul atau tidak kerajaan mempunyai peta risiko mengenai tanah, tidak dijawab oleh menteri terbabit.

"Jawab betul atau tidak kerajaan pusat ada peta risiko, jika benar ada, bolehkah ia diterangkan dan diketahui umum," tegas Azmin.

Pertanyaan Azmin itu tidak dijawab oleh Ka Chuan sebaliknya meneruskan penggulungannya dengan menyatakan sebagai langkah untuk mencegah keruntuhan cerun, kerajaan telah menubuhkan Jabatan Kejuruteraan Cerun di Kementerian Kerja Raya pada 2004.

Terdahulu, Azmin bangkit menyatakan ketidak puasan hati dengan jawapan yang diberikan Ka Chuan bahawa tidak terdapat lagi pembangunan di kawasan berhampiran dengan tanah runtuh terbabit.

"Jawapan yang diberikan oleh menteri tidak tepat dengan mengatakan tidak ada lagi pembangunan di kawasan sekitar. Saya tinggal di kawasan berhampiran dan diamanahkan untuk mewakili kawasan tersebut. Sekarang ini ada projek yang rancak dijalankan di kawasan yang betul-betul di tempat permulaan berlaku tanah runtuh.

"Saya tidak pasti Yang Berhormat Menteri pergi melakukan lawatan dan mendapat taklimat daripada siapa. Projek itu masih berjalan dan diluluskan dalam pentadbiran yang lalu. Saya tidak mahu menuding jari, tetapi kenapa tidak ada satu ketegasan dalam memastikan suatu akta atau panduan dipatuhi," tegas Azmin.

Ka Chuan sewaktu menjawab persoalan tersebut menyatakan beliau diberi maklumat oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai perkara tersebut. Bagaimanapun katanya beliau akan menyerahkan maklumat tersebut kepada Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa untuk membuat siasatan lanjut.

Jelasnya lagi, punca kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akan diketahui dalam masa tiga bulan. Katanya, satu Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa terdiri daripada 10 panel termasuk kementeriannya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Parit dan Saliran, Pusat Remote Sensing Negara, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Metereologi, Institut Kerja Raya Malaysia dan pakar-pakar geologi dari swasta dan universiti telah digerakkan untuk menyiasat punca berlaku tanah runtuh tersebut.

"Kerajaan masih menyiasat punca dan sebab berlakunya kejadian tanah runtuh tersebut. Keutamaan buat masa ini adalah untuk menyelamat nyawa, memindahkan penduduk yang terlibat serta kaji cara untuk menstabil persekitaran tersebut," kata beliau ketika menggulung perbahasan usul tersebut.

Sementara itu, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) turut membangkitkan apakah hasil kajian di sebalik peristiwa Highlands Tower 15 tahun yang lalu dan manfaat di sebalik hasil kejadian tersebut.

Pertanyaan tersebut juga tidak dijawab oleh Ka Chuan sebaliknya secara sinis menyatakan "dari runtuhan Bukit Antarabangsa hingga ke Highlands Tower..."

Dalam pada itu, Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) dan Dato' Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang turut menyertai perbahasan usul itu, mencadangkan agar kerajaan segera menubuhkan satu jawatankuasa bebas serta memberi pampasan kepada mangsa yang terlibat termasuk penduduk di kawasan berhampiran yang terpaksa berpindah serta mendapatkan penempatan baru.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen melahirkan tidak puas hati kerana masa yang diperuntukkan untuk perbahasan tersebut terlalu singkat yang hanya memperuntukkan 45 minit bagi perbahasan yang disertai lapan orang Ahli Parlimen dan 15 minit penggulungan menteri.

Sewaktu Ka Chuan membuat ucapan balas kepada usul tersebut, Azmin meminta perbahasan itu dilanjutkan memandangkan ia begitu penting. Namun, permintaan itu ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee.

Mengulas isu berkaitan, Azmin dalam sidang media selepas perbahasan tersebut melahirkan kekecewaan kerana kementerian-kementerian yang terlibat dengan usul berkaitan tragedi tanah runtuh itu tidak diberi peluang secukupnya untuk memperincikan isu berkenaan.

"Saya berpuas hati dalam konteks Tan Sri Speaker yang tegas membenarkan usul ini dibahaskan tetapi mekanisme perbahasan itu perlu diteliti. Semua kementerian yang terlibat tidak diberikan peluang untuk diberikan maklumat terperinci kepada Dewan Rakyat maka kita tidak dapat gambaran jelas apa yang berlaku," katanya.

Jelasnya, banyak isu yang dibangkitkan dalam konteks perbincangan usul tersebut. Beliau berpandangan semua Ahli Parlimen bermuafakat dalam memastikan tragedi seperti itu tidak berulang.

"Kementerian Kerja Raya tidak datang, Kementerian Alam Sekitar tidak diberikan peluang. Jadi akhirnya usul itu yang penting itu tetapi tidak dibahaskan secara terperinci. Ia agak mendukacitakan," katanya.

Usul membincangkan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa telah difailkan oleh Azmin di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) pada pukul 7.32 pagi Isnin lalu.

Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menerima usul tersebut untuk dibahaskan semalam dalam masa sejam bermula pukul 4.30 petang kerana memenuhi memenuhi syarat di bawah Peraturan Mesyuarat tersebut iaitu tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan. - mns_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.