HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Disember 2008

SIRI SATU: PRK KUALA TERENGGANU: JONG PECAH, YU KENYANG, MUNGKINKAH RIBUT BERHENTI MELANDA?

Ruhanie Ahmad


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 amat signifiken kepada seluruh parti yang bertanding - sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PKR). Ini kerana PRK tersebut akan jadi indikator kepada kekuatan kedua-dua pihak 10 bulan setelah berlalunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Menerusi PRK Parlimen Kuala Terengganu, BN berusaha membuktikan relevensinya sebagai parti pemerintah. BN juga mencari kepastian sama ada kesetiakawanan di kalangan komponennya - terutama sekali MCA dan Gerakan - masih kukuh dan abadi, walaupun kedua-dua komponen ini menyebabkan BN dilanda ribut dalam cawan hingga ke hari ini.

PR pula mencari indikasi sama ada ia masih menerima sokongan rakyat setelah melakukan pelbagai tindakan yang melukakan hati sebilangan besar orang Melayu di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan di seluruh negara.

Lantaran itu, PRK Parlimen Kuala Terengganu yang membuka tirai siasah Malaysia bagi tahun 2009, adalah satu-satunya PRK yang tidak boleh dipandang enteng atau disambil-lewakan oleh semua pihak.

Lantaran itu juga, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak berkata bahawa BN akan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRK pada 17 Januari 2009, semata-mata berdasarkan rekod kemenangannya dalam PRU12 dan kerana “UMNO semakin kuat berbanding sebelum ini.”

Kenyataan seperti ini sudah pun disuarakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kemanan pada 2 Disember 2008, seperti berikut:

KEMAMAN 2 Dis. - Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil kawasan itu nanti berdasarkan kejayaan yang dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lepas.

Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tiada sebab untuk BN dan UMNO tewas pada pilihan raya itu nanti memandangkan UMNO semakin kuat berbanding sebelum ini.

Beliau percaya UMNO mempunyai undi yang mencukupi untuk membolehkan calon parti itu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita telah menang dulu dan saya tidak melihat kenapa kita tidak boleh menang sekali lagi," ujarnya.

Pandangan optimis Abdullah seperti di atas pastinya disuarakan untuk menyemarakkan semangat juang BN. Jika itu niatnya, adalah dikhuatiri kenyataan itu akan memberikan isyarat yang salah kepada jentera BN seluruhnya.

Abdullah perlu jujur kepada realiti semasa. BN Terengganu yang memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU12 adalah BN dipimpin oleh Datuk Seri Idris Jusoh. BN Terengganu yang akan menghadapi PRK kali ini di bawah pimpinan Datuk Ahmad Said.

Perubahan Menteri Besar Terengganu sesudah PRU12 pada Mac 2008, tidak boleh dinafikan telah menyebabkan segolongan orang UMNO terguris hati dan memendam rasa. Tidakkah Abdullah mengambil faktor ini sewaktu menyatakan optimisme di atas?

Oleh itu, calon yang akan dipertandingkan dalam PRK Kuala Terengganu mestilah individu yang boleh menandingi wibawa Allahyarham Datuk Razali Ismail, Ahli Parlimen kawasan itu yang kembali ke rahmatullah pada 28 November 2008.

Calon itu juga mestilah diterima baik oleh pengundi setempat serta mampu memikat sokongan sebilangan besar orang UMNO kelompok Idris dan Admad. Calon itu juga sewajarnya disenangi oleh majoriti pengundi Cina.

Lantas, pertimbangkanlah semasak-masaknya, siapakah calon tersebut. Mungkinkah beliau Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang kini Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pernah jadi Setiausaha Poliitik kepada Abdullah?

Mungkinkah calon itu Bendahari UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh; atau Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Sabri Alwi?

Atau, mungkinkah calon itu adalah Zuber Embong, yang tidak aktif dalam politik, tetapi kini merupakan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu? –

Tiada ulasan: