Halaman

Sabtu, 13 Disember 2008

Suhakam siasat perobohan Kg Plentong Tengah

Abdul Rahim Sabri


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berjanji untuk meninjau nasib penduduk Kg Baru Plentong Tengah yang menghadapi perobohan seminggu lagi.

Ia juga bersedia melawat kawasan penempatan semula di Bukit Dagang pada 18 da 19 Disember ini sewaktu sekumpulan penduduk kampung mengadu nasib mereka semalam.

Pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam berkata, Suhakam akan berjumpa dengan jabatan-jabatan kerajaan untuk mengetahui perkembangan dan kemajuan pembangunan di Bukit Dagang.

"Kita memandang isu ini sebagai isu yang serius kerana ia melibatkan rakyat jelata, terutama sekali mereka yang miskin.

"Kita tidak mahu keadaaan di mana rakyat kita (bermasalah) dari segi perumahan (yang) menjadi salah satu hak asasi manusia.

"Sememangnya kita (Suhakam) mahu syarikat-syarikat besar, yang membuat keuntungan banyak, supaya memahami hasrat dan juga kehendak rakyat," kata Siva ketika menerima aduan Pertubuhan Kebajikan Kampung Baru Plentong Tengah (PKKBPT).

Pertubuhan itu diwakili oleh pengerusi penajanya Kamarul Arifin Yusa, penasihatnya Syed Othman Syed Abdullah dan tiga lagi pemimpin kanannya.

Dokumen aduan PKKBPT memuatkan beberapa bahan rujukan berhubung dakwaan penyelewengan yang dilakukan oleh bekas wakil-wakil rakyat BN, syarikat-syarikat dan peguam-peguam terhadap mereka.

Minggu lalu penduduk kampung tersebut membuat aduan polis dan Badan Pencegah Rasuah di Johor Bahru.

Semasa mengadu kepada Suhakam, setiausaha penaja PKKBPT Hassan Wan Ismail memaklumkan bahawa mereka menerima surat daripada peguam pemaju Bukit Lenang Development Sdn Bhd untuk merobohkan rumah Khamis depan.

Perobohan itu melibatkan 290 keluarga yang belum menandatangani aku janji dengan pemaju di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 29 Oktober lepas.

Seramai 120 keluarga yang menerima aku janji itu diarah berpindah hujung bulan ini.

Mereka akan ditempatkan di rumah sementara di Taman Desa Mutiara di Ulu Tiram, dan Taman Cendana dan Sri Alam - kedua-duanya di Pasir Gudang.

Mereka bagaimanapun mengadu Taman Desa Mutiara tidak sesuai didiami kerana prasarananya seperti air dan elektrik belum disediakan.

Pertengahan Oktober lalu, 27 penduduk dan aktivis NGO ditahan polis selama kira-kira 10 jam kerana cuba menghalang kerja perobohan rumah di kampung itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.