Mohd Khalil Abdullah
KUALA LUMPUR -Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Ronald dikecam kerana tidak peka dengan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin apabila menolak usul untuk membincangkan nasib rakyat Gaza.
Kecaman tersebut disuarakan oleh Pengerusi Teras, Mohd Azmi Abd Hamid dalam satu kenyataan media setelah menyerahkan satu memorandum di pejabat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Pandikar Amin Hj Mulia pagi semalam.
Menurutnya, antara intipati memorandum tersebut ialah mengecam tindakan Dato' Ronald yang menolak usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi.
"Alasan yang diberikan menunjukkan Timbalan Speaker itu tidak peka dengan penderitaan yang dialami oleh penduduk di Palestin.
"Penolakan usul bertentangan dengan sentimen dan hasrat rakyat Malaysia yang telah menggesa komuniti antarabangsa supaya mengambil langkah-langkah segera menarik balik pengepungan oleh Israel di Gaza dan menamatkan bencana kemanusiaan,"jelasnya.
Beliau juga mengesa agar pihak speaker segera menimbang semula usul tersebut dan menerimanya untuk dibahaskan.
Sementara itu, Ketua pegawai parlimen Dato' Kamarudin yang menerima memorandum itu telah berjanji akan menyampaikan sendiri kepada Speaker.
Memorandum tersebut telah ditandatangani lebih daripada 15 NGO.
Turut serta dalam rombongan tersebut ialah exco Dewan Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad dan Dr Rosli Alany. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan