HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Disember 2008

Tragedi Bukit Antarabangsa, kerajaan tidak peka

Mohd Sabri Said


KEPALA BATAS - Kerajaan tidak pernah mengambil iktibar kejadian Highland Tower 15 tahun lalu sebagai pedoman agar pembangunan di semua cerun bukit dihentikan.

Demikian kata, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu ketika diminta mengulas kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan beberapa mangsa beberapa hari lalu.

Jelas beliau lagi, jika kerajaan betul-betul peka pastinya kejadian tersebut tidak berulang kerana ketegasan terhadap pemaju yang asyik mementingkan keuntungan.

"Kerajaan memang tidak peka terhadap pembinaan pembangunan di kawasan berbukit. Tiada ketegasan yang diambil bahkan tiada pun menteri yang bertanggungjawab letak jawatan kerana bersalah, " katanya ditemui selepas menyampaikan khutbah Aidiladha di Markas Tarbiyah PAS Negeri semalam.

Kata beliau, semasa kejadian Highland Tower dulu kerajaan berjanji akan mengkaji semua projek di kecerunan bukit tetapi selepas beberapa bulan kemudian ia tinggal kata-kata.

Akibatnya, banyak mangsa yang terkorban ekoran kealpaan kerajaan yang memberi kelulusan kepada pemaju yang asyik mementingkan keuntungan daripada memikirkan risiko.

"Isu ini seakan dilupakan bilamana semuanya selesai termasuk pengkebumian atau keruntuhan diratakan. Kerajaan akan 'kalut' semula bila isu ini terjadi lagi, " jelas beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Tegas beliau, sepatutnya kajian oleh Institut Kerjaraya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dijadikan ikutan bukan mementingkan pembangunan di cerun berbukit.

Menurut Mohamad, terdapat 68 lagi kawasan tadahan air di sekitar Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dikategorikan berada pada tahap kritikal yang berkemungkinan boleh menyebabkan tanah runtuh pada bila-bila masa.

Ekoran kejadian itu, PAS mendesak kerajaan lebih prihatin terhadap semua projek cerun bukit agar malapetaka sebegitu tidak berulang lagi. - mks. _

Tiada ulasan: